06 Ogos 2021

PM sampaikan Amanat Perdana sempena pelancaran Bulan Kebangsaan, esok

 

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyampaikan Amanat Perdana sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang, pada jam 10.30 pagi esok.

Amanat Perdana itu akan disiarkan menerusi semua stesen penyiar dan menerusi Facebook Merdeka360, Jabatan Penerangan Malaysia dan RTM Klik.

Jabatan Penerangan Malaysia memaklumkan pelancaran itu akan dilaksanakan dengan konsep baharu iaitu melalui penyampaian Amanat Perdana oleh Perdana Menteri secara maya selaras sambutan dalam suasana norma baharu.

"Tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, Malaysia Prihatin, kekal seperti tahun lalu bagi menghargai keprihatinan, kesungguhan dan ketabahan rakyat dan kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19.

"Rakyat Malaysia disaran mengibarkan Jalur Gemilang sebagai budaya semangat merdeka sepanjang masa.

"Sambutan ini juga sebahagian usaha murni bagi memaparkan solidariti masyarakat di negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Maklumat lanjut Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan sub tema, Demi Negara itu boleh diperoleh dengan melayari portal rasmi sambutan tahun ini di pautan www.merdeka360.my.

BH/-

Tiada ulasan: