07 Ogos 2021

UMMAH minta polis siasat pemilik akaun Facebook hina raja

 

KHALIL Idham Lim Abdullah menunjukkan laporan polis yang dibuat ke atas dua pengguna Facebook kerana membuat kenyataan menghina institusi raja.

PUTRAJAYA: Polis diminta menyiasat dua pemilik akaun Facebook kerana membuat kenyataan berunsur hasutan dan menghina insititusi raja dengan membuat cerita rekaan dan palsu sehingga boleh menimbulkan kegusaran awam.

Setiausaha Agung Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Khalil Idham Lim Abdullah berkata, dua pengguna Facebook mendakwa Yang di-Pertuan Agong sangat murka berikutan Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu bahawa beliau mempunyai majoriti dan keabsahan sebagai Perdana Menteri akan dibuktikan dalam Parlimen pada September nanti.

“Perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini boleh menimbulkan keresahan dalam masyarakat dan tidak sepatutnya dibiarkan berlaku.

“UMMAH menuntut supaya dua pemilik akaun Facebook ini disiasat dan dikenakan tindakan yang tegas sesuai dengan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Serai, Perak pada pagi ini dan turut mengarahkan semua kepimpinan pertubuhan itu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah jaringan UMMAH membuat laporan sama.

Dalam status pemilik akaun Facebook itu, kedua-dua mereka memuat naik status kononnya Seri Paduka murka apabila Perdana Menteri menyembahkan jawapan nombor majoriti nanti ditunjukkan pada bulan depan.

Khalil Idham Lim berkata, UMMAH mengharapkan rakyat tidak mudah percaya dengan pelbagai cerita rekaan yang tidak munasabah dan tidak berfakta.

Pada masa sama katanya, semua pengguna media sosial perlu mengelakkan daripada menjadi penyebar berita palsu.

“Saya percaya kenyataan Saiful Bahari Baharom dan Annuar Adnan ini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana menyebut apa-apa perkataan menghasut yang boleh mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja atau kerajaan.

“Kesalahan itu juga di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya.

Tiada ulasan: