07 September 2021

Afghanistan masih diganggu

 

SETELAH Amerika Syarikat mengundurkan tenteranya dari Afghanistan, maka para mujahidin Taliban dan semua kumpulan yang bersamanya sedang merancang untuk menubuhkan sebuah kerajaan Islam. Kerajaan yang mampu menangani masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai mazhab dan suku kaum.


Sebuah pemerintahan yang berkonsepkan syura dengan melibatkan rakyat melalui para ulama’ dan para pemimpin qabilah yang diberikan kepercayaan oleh rakyat atau secara demokratik mengikut istilah politik Barat. Namun begitu, pihak Barat tetap tidak boleh menerimanya kerana kerajaan tersebut tidak berkonsepkan liberal sekularisme yang menolak peranan agama seperti mereka.

Ramai dalam kalangan pemimpin Barat tidak dapat menyembunyikan Islamofobia yang masih menghantui pemikiran mereka secara terbuka. Bukan sahaja para pemimpin di Amerika Syarikat yang terpukul dengan kekalahan, bahkan juga para pemimpin Eropah yang menjadi sekutunya turut meluahkan perasaan kesal terhadap keputusan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden yang mengundurkan tenteranya dari bumi Afghanistan.

Tindakan yang diambil oleh Biden itu dianggap sebagai strategi yang salah, sekali gus menjadikan pihak Barat mengalami kekalahan yang teruk dalam arena politik antarabangsa. Antara yang menunjukkan kekesalan terhadap Amerika Syarikat yang ditugaskan memikul tanggungjawab mereka di Afghanistan ialah Setiausaha Agung EU, Presiden dan Perdana Menteri beberapa negara Eropah.

Jenama Islam kepada sesebuah negara menjadi alergi bagi mereka, menandakan betapa permusuhan Peperangan Salib dan dendam mereka terhadap Islam masih lagi belum padam. Sekalipun peristiwa tersebut sudah berlalu beberapa abad lamanya dan kejadian yang berlaku sudah berada dalam lipatan sejarah.

Dunia Barat menumpang daripada kemajuan Tamadun Islam termasuklah dari sudut reformasi politik terhadap demokrasi Barat yang tidak mampu dilakukan oleh Revolusi Perancis dan lain-lain revolusi yang menjadi kebanggaan mereka. Ketika itu mereka belum lagi mengenali apakah itu pilihan raya, melainkan setelah para orientalis mengkaji fiqh politik yang dikarang oleh para ulama’ Islam.

Mereka bukan sahaja mengkaji ilmu sains dan teknologi yang bersifat materialistik, bahkan lebih meluas daripada itu termasuklah dalam aspek sistem politik Islam. Malangnya mereka tidak berbudi terhadap jasa besar Tamadun Islam terhadap mereka. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

﴿وَدَّ كَثِيرٌ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَوْ يَرُدُّونَكُمْ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِكُمْ كُفَّارًا حَسَدًا مِنْ عِنْدِ أَنْفُسِهِمْ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ الْحَقُّ…١٠٩﴾

“Sebahagian besar dalam kalangan Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) menginginkan agar mereka dapat mengembalikan kalian kepada kekufuran setelah kalian beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad SAW)…” (Surah al-Baqarah: 109)

Begitu juga firman Allah SWT:

﴿…وَلَا يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّى يَرُدُّوكُمْ عَنْ دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُوا…٢١٧﴾

“…Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kalian, sehingga mereka (dapat) memalingkan kalian daripada agama kalian (kepada kekufuran), sekiranya mereka sanggup (melakukan hal yang demikian)…” (Surah al-Baqarah: 217)

Kali ini Barat kembali menimbulkan isu kebebasan dan hak wanita di Afghanistan yang dibimbangi tidak tertunai. Mereka juga membesar-besarkan berita yang telah ditokok tambah, kononnya wanita tidak akan dibenarkan bersekolah dalam keadaan diketahui akan ketidakbenaran dakwaan tersebut.

Hal ini demikian kerana, hukum menuntut ilmu dalam Islam adalah fardhu ‘ain (wajib ke atas tiap-tiap individu Muslim, baik lelaki mahupun wanita). Manakala, menuntut ilmu yang menjadi keperluan hidup pula adalah fardhu kifayah seperti memenuhi tugas-tugas para doktor dan jururawat wanita, serta kalangan pegawai kerajaan dan guru-guru wanita.

Pernah berlaku apabila seorang wartawan wanita dari United Kingdom, Yvone Ridley memeluk Islam setelah dibebaskan oleh Taliban daripada tawanan mereka. Perkara tersebut berlaku selepas beliau menyaksikan perkara yang sebenar dan pembohongan yang digembar-gemburkan oleh media di Barat.

Bagi dunia Barat, kebebasan yang diinginkan ialah supaya wanita Islam tidak menutup aurat, penganut Islam boleh meminum arak, dan wujud pergaulan bebas tanpa batas moral sepertimana mereka. Walaupun hukum Islam tidak pernah menghalang penganut bukan Islam dalam negara dan masyarakatnya untuk melakukan perkara-perkara yang dibenarkan oleh agama mereka dan sesama mereka, tetapi mereka pula tidak senang jika penganut Islam patuh kepada ajaran agamanya.

Apakah ini bentuk kebebasan yang mereka mahukan?

Selain itu, Barat juga tidak senang dengan sikap Taliban yang menentang perniagaan candu dan dadah, suatu kegiatan yang tidak bermoral dan tidak sesuai dengan masyarakat Islam Afghanistan. Perkara yang tidak ditangani oleh kerajaan boneka Afghanistan sebelum ini, sehingga menjadikan kerajaan itu tidak lagi mendapat sokongan rakyat.

Malah, gelombangnya juga tidak mampu dihalang oleh kekuatan dan kecanggihan senjata Amerika Syarikat, sehingga memaksa mereka berundur. Hal ini disebabkan mereka tidak mahu menjadikan bala tenteranya sahaja menjadi mangsa korban, dan mahu mengelakkan kewangan mereka hangus begitu sahaja sehingga menjejaskan ekonomi negara. Semua itu ditanggung oleh Amerika Syarikat secara sendirian tanpa bantuan yang mencukupi daripada rakan sekutunya dalam EU yang hanya menjadi pemerhati.

Ini menunjukkan betapa jenama Islam sangat dibenci oleh Barat, dan kita sekali-kali tidak akan melupakan betapa tokoh politik dan Perdana Menteri pertama Nigeria iaitu Almarhum Haji Abubakar Tafawa Balewa bersama salah seorang Menteri, Almarhum Haji Ahmadu Bello menjadi mangsa pembunuhan secara kejam. Peristiwa ini berlaku kerana peranan mereka dalam memperkasakan Islam di Nigeria dan juga negara-negara Afrika.

Rentetan daripada itu, ditegakkan sebuah negara baharu bernama Biafra yang disokong oleh Barat, terletak di tengah-tengah negara Nigeria sekitar tahun 1967 hingga 1970. Walau bagaimanapun, negara tersebut tidak bertahan kerana kedudukannya yang terkepung. Walaupun media Barat sangat memberikan liputan secara melampau dari segi kemanusiaan untuk menarik simpati dunia.

Kita juga tidak lupa betapa umat Islam Bosnia yang hampir mencapai kemenangan pada saat akhir perjuangan mereka, berlaku campur tangan Barat dan sekutunya. Sehingga akhirnya memaksa pemimpin Islam yang juga Perdana Menteri Bosnia-Herzegovina, Almarhum Ali Ezzat Begovic untuk menerima kemerdekaan tanpa negara yang bercirikan Islam.

Begitulah ditetapkan syarat kemerdekaan kepada tanah air umat Islam pada zaman penjajahan dahulu, Barat tidak mengizinkan negara berdasarkan Islam ditegakkan. Bagi mereka, demokrasi pun tidak boleh diizinkan kepada Islam, tetapi selain daripada itu boleh diterima oleh mereka walaupun kerajaan diktator yang paling ganas.

Gulbuddin Hekmatyar, salah seorang pemimpin kumpulan Mujahidin yang bergabung bersama kumpulan Taliban membuat satu kenyataan, katanya:

“Bahawa penentangan terkini yang berlaku di Lembah Panjshir mengumpulkan para pemimpin rejim boneka Barat dahulu, dan terdapat tanda adanya ejen-ejen Barat yang menyertai pemberontakan di sana.”

Kenyataan yang dibuat oleh Hekmatyar menandakan terdapat usaha bagi menghalang wujudnya negara Islam di Afghanistan yang dijanjikan oleh Taliban. Mereka mengambil konsep syura yang memberikan hak kepada rakyat Afghanistan, tanpa sebarang campur tangan asing.

Kebimbangan sekarang ialah mewujudkan perang proksi berlaku di Afghanistan, walaupun media Barat membuat laporan kebimbangan berlakunya perang saudara di Afghanistan. Sememangnya laporan tersebut merupakan tindakan yang tidak ikhlas, laksana lempar batu sembunyi tangan.

Media tidak boleh menipu rakyat Afghanistan yang tidak pernah mampu dijajah oleh mana-mana penjajah kuasa besar dunia, bermula daripada British sehinggalah Soviet dan Amerika Syarikat. Sehingga keadaan tersebut menyebabkan bumi Afghanistan digelar sebagai perkuburan bagi kuasa besar dunia.

Kita meyakini bahawa rakyat Afghanistan yang berjaya mengalahkan semua kuasa besar yang berani menceroboh negara mereka, insya-Allah dengan mudah akan berjaya mengalahkan segala tindakan golongan pengecut itu.

Allah SWT berjanji kepada orang-orang yang beriman melalui firman-Nya:

﴿وَقَدْ مَكَرُوا مَكْرَهُمْ وَعِنْدَ اللَّهِ مَكْرُهُمْ وَإِنْ كَانَ مَكْرُهُمْ لِتَزُولَ مِنْهُ الْجِبَالُ٤٦ فَلَا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ مُخْلِفَ وَعْدِهِ رُسُلَهُ  إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ ذُو انْتِقَامٍ٤٧﴾

“Dan sesungguhnya mereka telah menjalankan rancangan jahat mereka (untuk menentang Islam), sedangkan di sisi Allah ada balasan bagi rancangan jahat mereka itu; sekalipun rancangan jahat mereka itu, dapat melenyapkan gunung-ganang. (46); Oleh itu, janganlah kamu menyangka bahawa Allah memungkiri janji-Nya kepada para rasul-Nya; sesungguhnya Allah Maha Perkasa, lagi Sedia Membalas (orang-orang yang menderhaka kepada-Nya).(47).” (Surah Ibrahim: 46-47)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 29 Muharram 1443 / 7 September 2021 – HARAKAHDAILY 7/9/2021

Tiada ulasan: