07 September 2021

Vaksinasi pelajar sekolah dimuktamad Khamis ini

 Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (tengah) melihat proses pendaftaran penerimaan vaksin penduduk yang tidak mempunyai dokumen pada program outreach pemberian vaksin di Pulau Larapan, hari ini. - Foto BERNAMA

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (tengah) melihat proses pendaftaran penerimaan vaksin penduduk yang tidak mempunyai dokumen pada program outreach pemberian vaksin di Pulau Larapan, hari ini. - Foto BERNAMA

SEMPORNA: Keputusan mengenai pemberian suntikan vaksin COVID-19 kepada pelajar sekolah akan dimuktamadkan pada satu mesyuarat penyelarasan membabitkan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan, Khamis ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata sebaik keputusan mengenai perkara berkenaan dibuat pada mesyuarat itu, ia akan dibawa kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tindakan seterusnya.

Katanya, selain suntikan vaksin kepada pelajar sekolah, mesyuarat itu juga akan membincangkan cadangan lain berkenaan pendidikan dan kesihatan ketika menghadapi cabaran COVID-19.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas meninjau program outreach suntikan vaksin COVID-19 kepada penduduk di Pulau Larapan, dekat sini, hari ini.

Mengenai situasi Sarawak yang mencatat kes baharu COVID-19 tertinggi, kelmarin iaitu 3,714 kes dengan kadar vaksinasi di negeri itu mencapai 80 peratus, Khairy berkata, 99 peratus kes membabitkan pesakit kategori satu dan dua.

"Hanya empat pesakit berada di kategori tiga, empat dan lima. Ini menunjukkan kita dalam fasa melaksanakan peralihan kepada endemik.

"Kita hidup dengan virus ini, masih lagi ada jangkitan tetapi kesannya tidak teruk sangat dengan batuk dan demam ringan sahaja," katanya.

Selain itu, beliau berkata, tahap kesedaran mengenai kepentingan vaksinasi COVID-19 dalam kalangan penduduk di kawasan pulau dan pedalaman di Sabah juga tinggi berdasarkan sambutan terhadap program outreach suntikan vaksin COVID-19.

Sebanyak 1,000 dos vaksin jenis dos tunggal CanSino disediakan di pusat pemberian vaksin (PPV) sementara di dewan terbuka Sekolah Kebangsaan Pulau Larapan, di sini, hari ini.

Katanya, Semporna menerima 26,000 dos vaksin CanSino dan setakat ini, 3,000 dos sudah digunakan. - BERNAMA

Tiada ulasan: