06 September 2021

Pembentukan kerajaan baharu Afghanistan diumum beberapa hari lagi

 Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, berucap di sidang media di Kabul. - Foto AFP

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, berucap di sidang media di Kabul. - Foto AFP

KABUL: Pembentukan kerajaan baharu Afghanistan bakal diumumkan dalam beberapa hari lagi, menurut Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid selepas mengesahkan kumpulan itu berjaya menawan Panjshir hari ini.

Afghanistan mungkin membentuk kerajaan sementara ketika persiapan menubuhkan kerajaan baharu giat dilakukan, kata Mujahid pada sidang media, lapor Xinhua.

Mujahid berkata, kerajaan baharu ini bersifat menyeluruh dan berharap rakyat Afghanistan membantu kepada kelancaran peralihan kuasa negara itu.

Bekas pegawai tentera Afghanistan turut dialu-alukan bergabung dengan jabatan keselamatan negara, tambahnya.

Mujahid turut berharap Taliban dapat menjalin kerjasama erat dengan negara-negara jiran.

Sementara itu, tiada korban jiwa membabitkan orang awam dilaporkan ketika pertempuran di Panjshir, sambil menambah bekalan elektrik dan internet akan beroperasi semula dalam masa terdekat.

Taliban mengisytiharkan peperangan tamat di Afghanistan, dan lapangan terbang Kabul akan berfungsi sepenuhnya tidak lama lagi, tambahnya.

Bagaimanapun, beliau meminta orang ramai bersabar ketika kumpulan itu berusaha memulihkan semula perkhidmatan penerbangan antarabangsa.

Sementara itu, Mujahid mendapat maklumat bahawa Timbalan Presiden Amrullah Saleh telah melarikan diri ke Tajikistan.

Panjshir terletak kira-kira 200 kilometer di utara Kabul, adalah wilayah terakhir ditakluk Taliban sejak pengunduran tentera Amerika Syarikat pada akhir Ogos. - BERNAMA

Tiada ulasan: