Kuala Lumpur: Malindo Air akan menawarkan enam penerbangan harian ke Langkawi.
Lima penerbangan dari Subang Skypark dan sekali sehari untuk penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pada masa ini, Malindo Air mengendalikan dua penerbangan setiap hari antara Langkawi dan Subang Skypark.
Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri berkata, sempena pembukaan semula pusat pelancongan Langkawi kepada penerima vaksin lengkap dan juga dalam menyambut Hari Malaysia, mulai 16 September, pihaknya menawarkan elaun bagasi 15 kilogram (kg) percuma kepada semua pemegang tiket Super Saver .
"2021 menjadi tahun yang mencabar bagi industri kami tetapi keadaan mulai bertambah baik. Untuk masa hadapan, kami yakin pembukaan semula Langkawi akan sangat bernilai bagi kebangkitan industri penerbangan dan pelancongan.
"Malindo Air akan bekerjasama dengan kerajaan, Lembaga Pembangunan Langkawi dan Tourism Malaysia untuk memastikan inisiatif pelancongan ini akhirnya dapat disambung semula dengan cara yang selamat," katanya dalam kenyataan.
Malindo Air juga mengambil langkah keselamatan seperti meningkatkan kebersihan kabin dan membuat pembasmian kuman dengan teliti.
Setiap pesawat Malindo Air dilengkapi dengan penapis udara berpengaruh tinggi (HEPA), yang mengeluarkan lebih dari 99.9 peratus mikroba di udara.
Oleh itu, udara kabin disegarkan setiap dua hingga tiga minit sepanjang penerbangan.
Untuk maklumat terkini mengenai aktiviti dan promosi terkini Malindo Air, boleh melayari Twitter (twitter.com/@malindoair), Facebook (facebook.com/MalindoAirMalaysia) atau Instagram (instagram.com/malindoair).
hmetro/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan