KUALA LUMPUR: Rata-rata farmasi mula menjual kit ujian kendiri COVID-19 dengan harga siling RM19.90 seperti ditetapkan kerajaan mulai hari ini.
Tinjauan di beberapa farmasi di sekitar ibu kota mendapati ada farmasi yang turut menjual dengan lebih murah, malah ada juga yang sudah menjual pada harga RM19.90 sejak beberapa hari lalu.
Penolong pegawai farmasi, Nurul Ain Shafurah Mohamed Tamrin, berkata farmasi berkenaan sudah menjual kit ujian kendiri COVID-19 pada harga RM19.90 sejak tiga hari lalu.
Katanya, sebelum ini farmasi berkenaan menjual dua jenis kit berkenaan dengan harga RM31.90 sehingga RM41.
"Oleh kerana stok kit yang baru dibeli sudah sampai dengan kuantiti yang banyak, jadi pihak pengurusan tetapkan supaya terus jual pada harga runcit.
"Memang akan alami kerugian tetapi itu kita terpaksa tolak ke tepi dahulu dalam keadaan pandemik ketika ini," katanya kepada BH, hari ini.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menetapkan harga runcit maksimum bagi setiap set kit ujian kendiri COVID-19 pada harga RM19.90, manakala harga borong ditetapkan RM16 berkuatkuasa hari ini.
KPDNHEP turut memberi tempoh selama seminggu kepada peniaga untuk bersedia menjual bekalan berkenaan pada harga ditetapkan sebelum tindakan tegas diambil kepada mereka yang ingkar.
Pegawai farmasi, Khoo Joo Lian berkata, farmasi menetapkan untuk menjual ujian kendiri COVID-19 pada harga RM16.50 sejak dua hari lalu.
Katanya, sebelum ini harga kit yang dijual di farmasi itu adalah antara RM27.90 sehingga RM39.90.
"Setiap minggu harga akan berubah kerana bergantung kepada jumlah stok yang ada selain harga ditetapkan oleh pihak pengurusan.
"Namun, farmasi ini menjual dengan harga yang lebih murah dari yang ditetapkan kerajaan kerana berhasrat membantu orang ramai berikutan kit ini sangat diperlukan dalam keadaan pandemik ketika ini," katanya.
Joo Lian berkata, bagi mereka yang mahu membeli pada harga borong pula boleh mendapatkan dengan harga lebih murah namun harus membeli dengan kuantiti 200 ke atas sahaja.
Bagi ahli farmasi, Chong Chui Yi, berkata pihaknya mula menjual kit ujian kendiri COVID-19 dengan harga RM19.90 seperti ditetapkan kerajaan mulai hari ini.
Beliau juga mengakui walaupun berdepan kerugian kerana stoklama yang masih banyak, namun mereka tiada pilihan.
"Memang kerajaan benarkan untuk menjual lagi dengan harga lama tetapi jika farmasi lain sudah menjual dengan harga baru, kami akan rugi apabila tiada orang beli.
"Jadi untuk elak lebih banyak kerugian dan pelanggan marah, lebih baik jual sahaja pada harga baru seperti ditetapkan kerajaan," katanya.
Sementara itu, ahli terapi, Amalina Hashim, 29, berkata harga kit ujian kendiri COVID-19 yang dijual dengan harga RM19.90 ketika ini berbaloi berbanding sebelum ini.
Katanya, sebelum ini untuk mendapatkan dengan harga murah dia terpaksa membeli dengan jumlah banyak kerana kebanyakan farmasi akan menjual dengan harga borong untuk kuantiti banyak.
"Bagi saya harga yang dijual ketika ini sudah mampu milik dan tidak lagi membebankan seperti sebelum ini," katanya.
BH/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan