07 September 2021

Petani protes di luar Delhi terhadap akta baharu

 

Lebih setengah juta petani menyertai bantahan terhadap undang-undang baharu di Uttar Pradesh Ahad lalu. (Gambar AP)

NEW DELHI: Ribuan petani India berkumpul di sebuah pasar bijirin besar di luar New Delhi hari ini untuk membantah undang-undang pertanian baharu yang didakwa mengancam mata pencarian dan tindakan oleh polis ketika protes sama minggu lalu.

“Kebanyakan petani menghadiri pertemuan itu untuk meminta kerajaan menghukum individu bertanggungjawab menggunakan kekasaran terhadap petani yang tidak bersenjata dan tua,” kata pemimpin kanan petani, Balbir Singh Rajewal.

Pasar bijirin yang menjadi lokasi pertemuan petani hari ini, terletak kira-kira 150km dari New Delhi, di negeri jiran Haryana.

Rajewal berkata, petani juga akan mengadakan demonstrasi di pejabat kerajaan utama di Haryana untuk mengemukakan tuntutan mereka.

“Penggunaan kuasa berlebihan dan tidak seimbang bukan hanya kejam, tetapi juga tindakan penuh dendam.”

Bulan lalu, kira-kira 10 petani cedera selepas polis menggunakan cota untuk menghentikan penunjuk perasaan menghalang lebuh raya di Haryana.

Seorang petani meninggal dunia kemudian, walaupun pegawai berkata, kematian itu bukan disebabkan kecederaan dipukul cota.

Pihak berkuasa di Haryana meningkatkan kawalan keselamatan dan menyekat perkhidmatan internet mudah alih, kata pegawai kerajaan negeri.

Selain mengerahkan sejumlah besar anggota polis, mereka berkata, kerajaan turut menempatkan pasukan separa tentera.

Lebih lapan bulan, puluhan ribu petani berkumpul di lebuh raya utama ke New Delhi untuk membantah undang-undang pertanian menerusi bantahan petani paling lama di India.

Lebih setengah juta pantai menyertai protes di Uttar Pradesh pada Ahad lalu – perhimpunan terbesar setakat ini – menuntut undang-undang yang diperkenalkan September tahun lalu ditarik balik.

Pemimpin petani berkata, undang-undang itu akan menghakis mekanisme lama yang memastikan petani mendapat harga jaminan minimum untuk beras dan gandum mereka, tetapi kerajaan berkata ini akan membantu petani mendapat harga lebih baik.

Reuters

 

Tiada ulasan: