07 September 2021

'Wanita nekad selongkar lori sampah demi barangan kemas'


Selepas kira-kira 30 minit menyelongkar, wanita ini berjaya menemui kotak hijau berisi barangan kemas miliknya di sebalik timbunan sampah. Gambar tangkap layar video

Selepas kira-kira 30 minit menyelongkar, wanita ini berjaya menemui kotak hijau berisi barangan kemas miliknya di sebalik timbunan sampah. Gambar tangkap layar video


SIK: Seorang wanita nyata bernasib baik apabila sejumlah barangan kemas miliknya yang dibuang ke dalam tong sampah secara tidak sengaja, ditemui kembali pagi ini.

Berdasarkan video yang tular di media sosial hari ini, wanita berusia 30-an itu meminta bantuan pekerja syarikat konsesi pembersihan, Environment Idaman (E-Idaman) untuk menurunkan sampah daripada sebuah lori syarikat itu sebelum menyelongkarnya bagi mengesan beg berisi barangan kemas itu.

Selepas beberapa ketika, wanita itu berjaya menemui semula barangan berharga itu dalam timbunan plastik yang dikeluarkan daripada lori terbabit.

Video berdurasi 2 minit 50 saat itu memaparkan wanita berkenaan jelas gembira sebaik menemui barangan berkenaan sambil berulang kali berterima kasih kepada petugas pembersihan yang membantunya.

Seorang pekerja E-Idaman yang enggan namanya disiarkan, berkata proses pemunggahan sampah itu berlaku kira-kira jam 8 pagi tadi di Depoh E-Idaman di sini selepas wanita itu hadir meminta bantuan mereka untuk mencari barangan kemasnya yang hilang.

Katanya, beliau difahamkan barangan kemas yang disimpan dalam sebuah kotak itu dibuang secara tidak sengaja oleh keluarga itu semalam.

"Sebaik sahaja menyedari kejadian itu, keluarga berkenaan dikatakan mencari hingga ke tapak pelupusan sampah di Kulim.

"Namun selepas mendapat maklumat sampah-sampah yang dikutip semalam masih belum sampai ke Kulim, wanita itu kemudiannya hadir ke Depoh E-Idaman di sini untuk mencari barangan berharga itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, atas budi bicara pekerja syarikat berkenaan, mereka bersetuju membantu mencari barangan kemas itu yang mengambil masa kira-kira setengah jam.

"Wanita itu bernasib baik kerana tempat tinggalnya menjadi lokasi terakhir operasi kutipan sampah semalam. Disebabkan itu, tidak banyak sampah yang perlu dipunggah bagi membantunya menemui barang kemas itu yang difahamkan mencecah puluhan ribu ringgit.

"Sepanjang tiga tahun bekerja di sini, inilah kali pertama kami membantu orang ramai mencari kembali barang berharga mereka, saya dan rakan-rakan sekerja faham kerugian yang bakal ditanggung wanita itu sekiranya barang kemas itu hilang.

"Jadi kami bersama-sama cari dan bersyukur kerana ia dapat ditemui semula," katanya. BH/_

Tiada ulasan: