23 September 2021

Guru KAFA nikmati cuti bersalin berelaun mulai Januari ini

 

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) akan menikmati kemudahan cuti bersalin berelaun mulai 1 Januari 2022.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata kerajaan komited untuk membela kebajikan guru Kafa.

Sejak tahun lalu, katanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memperuntukkan RM6.9 juta untuk caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada 35,000 guru Kafa di Malaysia.

“Kerajaan amat prihatin untuk menambah baik status perjawatan guru Kafa, namun beberapa proses penting perlu diteliti dan dilaksanakan terlebih dahulu secara terancang dan menyeluruh bagi menjamin kebolehlaksanaan penambahbaikan status perjawatan tersebut.

“Penambahbaikan ini melibatkan aspek deskripsi tugas, penetapan jam mengajar, kelayakan guru dan keperluan ikhtisas bagi guru Kafa serta kesesuaian premis,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Sabri Azit (PAS-Jerai) yang bertanyakan mengenai status terkini perjawatan guru Kafa yang selama ini berkhidmat secara kontrak.

Selain itu, kata Ahmad Marzuk, kerajaan sentiasa melaksanakan inisiatif untuk memperkasa guru Kafa bagi meningkatkan kemahiran mereka.

Katanya, inisiatif itu melalui pelaksanaan kursus pemetaan guru Kafa sebagai jurulatih daerah bagi melahirkan guru yang kompeten dalam profesyen perguruan.

“Setakat ini, seamai 561 guru Kafa dilatih di bawah program itu bagi memantapkan ilmu kemahiran pengajaran dan kemahiran teknologi serta berupaya menjadi pembimbing kepada guru Kafa lain,” katanya.

Beliau berkata, guru Kafa juga perlu memenuhi kelayakan ikhtisas yang merupakan elemen penting bagi memenuhi syarat dan kelayakan yang ditentukan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). – HARAKAHDAILY 21/9/21

Tiada ulasan: