23 September 2021

Hubungan Arab Saudi-Malaysia terus utuh

 

KUALA LUMPUR: Hubungan Arab Saudi dan Malaysia kekal utuh dan terus berkembang dengan menyediakan ruang lebih luas untuk kerjasama dalam pelbagai bidang.

Sempena Hari Kebangsaan ke-91 Arab Saudi pada 23 September, Jabatan Hal Ehwal Media Kedutaan Arab Saudi di Malaysia menerusi satu artikel memaklumkan hubungan kedua-dua negara terbina hasil lipatan sejarah agama dan budaya yang sama.

“Hubungan ini turut diperkukuh melalui lawatan peringkat tinggi antara kedua-dua negara. Kunjungan paling bersejarah adalah ketika kunjungan Penjaga Dua Kota Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud ke Malaysia pada 2017,” menurut artikel itu.

Lawatan tersebut menjana pelbagai perjanjian dan Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara, termasuk kerjasama Saudi Aramco Petroleum Company dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) melalui projek loji penapisan minyak.

Kerjasama itu turut merangkumi usaha sama dua projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID).

Artikel itu turut menyentuh lawatan peringkat tertinggi bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mac 2021 telah membawa hubungan Kuala Lumpur-Riyadh ke tahap baharu.

Lawatan itu turut memberi impak positif bagi Malaysia termasuk melibatkan MoU dalam memudahkan proses pra-pelepasan jemaah haji dan umrah Malaysia.

Dalam konteks ini, Malaysia adalah negara pertama disenaraikan dalam “Makkah Road Initiative”.

Kedua-dua negara turut bersetuju menubuhkan Majlis Penyelarasan Arab Saudi-Malaysia bagi memberi laluan untuk rundingan dan konsultasi secara berkala mengenai hal-hal berkaitan kepentingan bersama.

Statistik menunjukkan jumlah jemaah haji Malaysia dan Mu’tamir dari 2015 hingga 2019 adalah sekitar 177,124 jemaah, dan 1.2 juta Mu’tamir.

Menyentuh mengenai pendidikan, kerajaan Arab Saudi turut menyediakan 300 biasiswa setiap tahun kepada pelajar Malaysia yang menuntut di institusi pendidikan tinggi di negara itu.

Jumlah penuntut Malaysia yang menerima biasiswa kini sebanyak 149 sementara pelajar Arab Saudi yang menyambung pengajian di Malaysia dari 2015 hingga 2021 melebihi 6,000 orang.

Mengenai hubungan sesama rakyat, jumlah pelancong Arab Saudi ke Malaysia pada 2019 mencecah 121,444 orang. – BERNAMA

Tiada ulasan: