23 September 2021

PARLIMEN: Malaysia bangunkan pusat penyelidikan vaksin

 Malaysia sedang mengorak langkah membangunkan pusat penyelidikan vaksin khusus untuk COVID-19 serta mengumpul pakar bersasar bagi langkah kesiapsiagaan menghadapi penyakit berjangkit lain. - Foto hiasan

Malaysia sedang mengorak langkah membangunkan pusat penyelidikan vaksin khusus untuk COVID-19 serta mengumpul pakar bersasar bagi langkah kesiapsiagaan menghadapi penyakit berjangkit lain. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Malaysia sedang mengorak langkah membangunkan pusat penyelidikan vaksin khusus untuk COVID-19 serta mengumpul pakar bersasar bagi langkah kesiapsiagaan menghadapi penyakit berjangkit lain.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata sebagai contoh vaksin untuk kolera sudah memasuki fasa ujian klinikal.

Ketika ini, Indonesia, Thailand dan Vietnam sudah mempunyai kemudahan, keupayaan dan kebolehan untuk membangunkan vaksin sendiri.

"Jika Malaysia mampu menghasilkan vaksin sendiri, ia sekali gus dapat menyelesaikan pelbagai kemelut berkaitan program vaksinasi sekarang termasuklah isu kekurangan bekalan, kos harga vaksin yang meningkat dan jadual penghantaran yang tidak menentu disebabkan kebergantungan dari negara pengeluar," katanya pada sesi penggulungan usul menjunjung kasih Titah Diraja peringkat kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, syarikat Pharmaniaga LifeSciences Sdn Bhd, sebuah anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sudah memulakan program pembangunan vaksin pada 2018 dengan mewujudkan kilang pembotolan vaksin pertama bagi mengimbangi kebergantungan negara kepada produk import.

"Dengan keperluan vaksin COVID-19, Pharmaniaga sudah membuat perubahan kepada kilang berkenaan dari segi aktiviti Sterile Small Volume Injectibles (SSVI) kepada pengilangan 'fill and finish' bagi mempercepatkan penghasilan vaksin COVID-19," katanya.

Selain itu, Dr Adham berkata, kerajaan sedang membangunkan satu laman web khas bagi membolehkan penerima lengkap dua dos vaksin COVID-19 mencetak terus sijil vaksinasi mereka.

Beliau berkata kemudahan ini akan dapat membantu khususnya warga emas atau golongan yang tiada telefon pintar untuk mendapatkan sijil vaksinasi secara bercetak dan boleh di bawa ke mana-mana.

"Setiap individu yang sudah menerima dos lengkap melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), akan menerima sijil digital vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera.

"Sijil digital vaksinasi terkini mempunyai kod QR melalui teknologi blockchain, yang boleh diimbas menggunakan aplikasi pengesahan bagi menjamin ketulenan sijil itu," katanya.

Mengenai pembaharuan lesen Lynas, beliau berkata, syarikat mesti membina kemudahan pelupusan tetap untuk residu penulenan air larut lesap (WLP) sebagai antara syarat memperbaharui lesen oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (LPTA).

"Pembinaan kemudahan pelupusan tetap, memerlukan kelulusan beberapa Jabatan dan Agensi Kerajaan khususnya Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan kerajaan negeri. JAS sedang dalam proses penilaian untuk tapak baharu.

"Tarikh akhir penghantaran laporan Environmental Impact Assessment (EIA) ialah hujung September ini. Untuk makluman, LPTA sedang menilai laporan Radiological Impact Assessment (RIA) dengan izin yang diterima pada 14 September lalu," katanya.

BH/-

Tiada ulasan: