23 September 2021

PARLIMEN: Rentas negeri tak cetus lonjakan kes COVID-19

 Kebenaran pergerakan rentas negeri sekiranya liputan imunisasi mencapai 90 peratus dijangka tidak mengundang gelombang peningkatan kes COVID-19. -  Foto fail NSTP

Kebenaran pergerakan rentas negeri sekiranya liputan imunisasi mencapai 90 peratus dijangka tidak mengundang gelombang peningkatan kes COVID-19. - Foto fail NSTP


KUALA LUMPUR: Kebenaran pergerakan rentas negeri sekiranya liputan imunisasi mencapai 90 peratus dijangka tidak mengundang gelombang peningkatan kes COVID-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, sebaliknya berkata sebarang lonjakan kes penularan jangkitan dalam kalangan masyarakat berpunca daripada perkumpulan atau perhimpunan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai untuk sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang sebarang risiko lonjakan kes positif di negara ini.

"Betul, kalau dikira, 90 peratus liputan imunisasi dalam kalangan dewasa berkemungkinan mewakili sekitar 60 peratus saja jika dibandingkan dengan keseluruhan penduduk di Malaysia.

"Tetapi, kadar liputan imunisasi akan meningkat, susulan pemberian vaksin kepada golongan remaja yang giat dijalankan di seluruh negara ketika ini.

"Cuma, saya ingin tegaskan bahawa pergerakan rentas negeri saja tidak akan sebabkan peningkatan kes, tetapi 'congregation' (pengumpulan) yang mencetuskan penularan jangkitan.

"Justeru, pergerakan rentas negeri bukan isu sangat," katanya pada sesi penggulungan usul menjunjung kasih titah diraja bagi kementeriannya, di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam mengumumkan bahawa pergerakan rentas negeri akan kembali dibenarkan apabila kadar liputan imunisasi COVID-19 mencapai 90 peratus daripada individu dewasa.

Seiring matlamat peralihan ke fasa endemik, Khairy berkata, pihaknya sedang merangka satu strategi saringan nasional bagi menentukan sama ada Malaysia sudah memasuki peringkat mitigasi atau masih berada dalam pembendungan akhir.

Mitigasi ialah fasa akhir dalam empat peringkat menangani wabak, selepas fasa amaran, pembendungan awal dan pembendungan akhir. Fasa ini disenaraikan mengikut tahap keseriusan wabak penyakit tertentu.

"Kita sedang siapkan strategi saringan nasional, justeru jelas di peringkat mana sesuatu kawasan dianggap boleh beralih ke fasa mitigasi atau dalam keadaan apa ia masih dalam pembendungan akhir.

"Jika pembendungan akhir, kita boleh saring sama ada bergejala atau tidak. Perkara sedemikian tidak jelas sebelum ini, maka pelbagai interpretasi wujud di lapangan berhubung ujian saringan.

"Tapi, kita juga kena perkasa jabatan kesihatan negeri untuk tentukan mengikut pola penularan mereka, sama ada sudah beralih ke fasa mitigasi atau pembendungan akhir, dengan mengambil kira aset sedia ada.

"Sekiranya aset tidak mencukupi, buat apa kita buat saringan terhadap mereka yang tidak bergejala, tidak cukup tangan untuk laksanakan perkara sedemikian bagi beralih ke fasa mitigasi," katanya.

Bharian/-


Tiada ulasan: