PUTRAJAYA: Operasi semua kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan rakan strategik JPJ termasuk PUSPAKOM, akan berjalan dengan kapasiti 100 peratus secara 'walk-in' untuk individu lengkap imunisasi COVID-19, bermula 6 September ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata ia bagi memastikan orang ramai dapat berurusan dengan jabatan itu secara lancar.
Beliau berkata, jika ada keperluan tertentu, kaunter terbabit akan turut beroperasi pada cuti hujung minggu, termasuk di negeri yang cuti hujung minggu jatuh pada Jumaat.
"Pelanggan yang ingin berurusan di kaunter JPJ mestilah mendapatkan vaksinasi lengkap sebagai langkah berjaga-jaga yang diperlukan bagi menjaga kesihatan dan keselamatan orang ramai, termasuk kakitangan bertugas.
"Pada masa sama, pelawat juga perlu menunjukkan status Risiko Rendah COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera masing-masing.
"Mulai 6 September ini, JPJ juga akan menghentikan sistem janji temu dalam talian bagi memberi sokongan kepada pelanggan yang menerima vaksinasi lengkap, untuk berurusan di kaunter JPJ," katanya pada sidang media, hari ini. BH/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan