03 September 2021

Kelonggaran rentas negeri tak lama lagi - Khairy

 Anggota Polis daerah Gombak memeriksa kenderaan di Sekatan Jalan Raya berhampiran Tol Gombak menghala Pantai Timur. - Foto hiasan NSTP

Anggota Polis daerah Gombak memeriksa kenderaan di Sekatan Jalan Raya berhampiran Tol Gombak menghala Pantai Timur. - Foto hiasan NSTP

PUTRAJAYA: Lebih banyak kelonggaran termasuk pergerakan rentas negeri akan diberikan dalam tempoh terdekat.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, ketika mengesahkan perkara itu menjelaskan perbincangan berhubung kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) giat dibuat, bersandarkan fakta sains dan petunjuk semasa.

Selain itu, katanya, kerajaan bertekad untuk meningkatkan kadar pemberian vaksin di negeri-negeri tertentu yang masih merekodkan liputan di bawah paras 60 peratus seperti Sabah, Kelantan, Kedah, Perak, Johor, Terengganu, Pahang dan Pulau Pinang.

"Saya sudah bincang perkara ini (pergerakan rentas negeri dan kelonggaran tertentu) dengan DG (Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) dan kita sudah putuskan beberapa siri cadangan.

"Ia akan dibentangkan dalam sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat. Ada harapan (untuk rentas negeri), cuma saya (minta) sabar sekejap lagi, sikit saja masa lagi.

"Ini kerana kita semua maklum bahawa pembukaan sempadan negeri untuk pergerakan, bakal mengundang risiko, justeru berikan kita tempoh sikit lagi.

"Ada beberapa negeri yang nilai ambang vaksinasi masih rendah, justeru menjelang September semua negeri akan capai liputan dos vaksin lengkap dalam kalangan individu dewasa sebanyak 60 peratus," katanya pada sidang media, hari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. - Foto fail NSTP
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. - Foto fail NSTP

Berdasarkan perangkaaan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) setakat semalam, Sabah mencatatkan liputan vaksin dos lengkap dalam kalangan individu dewasa paling rendah, iaitu 41.5 peratus berbanding paras kebangsaan 65.9 peratus.

Kadar kedua terendah ialah Kelantan dengan 47.6 peratus, disusuli Kedah (47.9 peratus), Perak (48.9 peratus), Johor (50 peratus), Terengganu (52.7 peratus), Pahang (52.9 peratus) dan Pulau Pinang (59 peratus).

Purata kes dalam tempoh tujuh hari setakat semalam bagi Sabah pula ialah kedua tertinggi selepas Selangor, iaitu 2,570 kes manakala kadar insiden berada pada paras 62.5 bagi setiap 100,000 penduduk.

Statistik berhubung aspek sama bagi Johor, Kedah, Pulau Pinang, Kelan dan Perak juga di tahap membimbangkan, dipercayai susulan penularan jangkitan varian delta yang disahkan sebagai dominan di Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Khairy mengesahkan bahawa tiada kes positif direkodkan dalam kalangan atlet negara yang pulang dari temasya sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Kita buat saringan seperti biasa untuk sesiapa yang balik, malah penjujukan genom dilakukan sekiranya ada kes positif dan arahan ini sudah diberikan kepada makmal berkaitan, termasuk daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

"Setakat ini, tiada kes positif dalam kalangan atlet kita," katanya menjawab kebimbangan penularan varian berkepentingan (VOI), jenis 'Mu' atau B.1.1621 di Tokyo.

BH/-


Tiada ulasan: