03 September 2021

Tempoh pembaharuan cukai jalan, lesen memandu lanjut 31 Disember, kata menteri

 

Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong berkata, kementerian amat peka dengan maklum balas dan kesukaran orang ramai dalam menggunakan perkhidmatan agensi di bawahnya seperti JPJ, ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

PUTRAJAYA: Tempoh pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dilanjutkan hingga 31 Disember.

Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong berkata, pemilik LKM dan LMM yang sudah tamat tempoh sah tidak akan dikenakan tindakan penguatkuasaan dan pematuhan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta polis.

“Kementerian Pengangkutan amat peka dengan maklum balas dan kesukaran orang ramai dalam menggunakan perkhidmatan agensi di bawahnya seperti JPJ ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

“Sehubungan itu Kementerian Pengangkutan memutuskan untuk memberi pelanjutan tempoh pembaharuan LKM dan LMM hingga 31 Disember 2021 dan perkara itu akan diwartakan mengikut akta.

“Ini bermakna kenyataan sebelum ini bahawa penguatkuasaan akan bermula 1 Oktober tidak akan dilaksanakan hingga 31 Disember 2021,” katanya pada sidang media selepas meninjau operasi kaunter pandu lalu JPJ di Kementerian Pengangkutan.

Wee berkata, bagaimanapun pemilik LKM yang tamat tempoh perlu memastikan kenderaan mereka dilindungi insurans dan memapar serta menunjukkan sijil perlindungan insurans yang sah untuk pemeriksaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengguna yang ingin berurusan dengan JPJ tidak lagi perlu membuat janji temu dan mereka boleh ‘walk in’ bermula 6 September.

“Pelanggan yang ingin berurusan di kaunter JPJ mesti dapat vaksin lengkap sebagai langkah berjaga-jaga termasuk kakitangan bertugas. Pelanggan perlu tunjuk status kesihatan Covid-19 kerana kita perlu pastikan mereka yang datang betul-betul sihat,” katanya memaklumkan urusan dalam talian amat digalakkan bagi mengurangkan kesesakan.

Wee berkata, jumlah kehadiran pelanggan dijangka meningkat dan beliau mengingatkan orang ramai agar mematuhi SOP bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19.

“Dalam tempoh PKP seramai 365 pegawai JPJ positif (Covid-19) dan dua orang meninggal dunia, mereka merupakan petugas barisan hadapan, bukan saja berkorban masa tapi mereka kena tanggung risiko, jadi kita kena jaga kita,” katanya. FMT/-

Tiada ulasan: