22 September 2021

Kerajaan bekalkan kit kendiri Covid-19 untuk sekolah berasrama

 

Oleh SYAHIRAH SALLEH


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menanggung kos kit ujian kendiri Covid-19 yang akan dibekalkan kepada semua sekolah berasrama penuh dan sekolah yang mempunyai asrama harian di seluruh negara.


Menteri Pendidikan, Dr Radzi Jidin, berkata, ujian saringan untuk pelajar sekolah berasrama penuh akan dijalankan sebanyak 3 kali, iaitu semasa pendaftaran masuk, hari ke-6 dan hari ke-14.

Bagi sekolah yang mempunyai asrama harian, katanya ujian saringan akan dilaksanakan semasa pendaftaran masuk.

“Selain itu, kit ujian kendiri akan disediakan bagi kegunaan sekolah harian untuk membuat saringan awal jika murid menunjukkan gejala di sekolah,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menerangkan secara terperinci, Dr Radzi berkata, katakan jika murid bersekolah di Kuala Lumpur dan menetap di Terrengganu.

“Jika menaiki bas, kita akan kumpulkan mereka di sebuah sekolah di Terengganu, kita akan beri kit kendiri Covid-19 kepada mereka untuk buat ujian. Jika negatif, mereka boleh naik bas dan datang ke asrama,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan tidak membenarkan murid bergejala menghadiri sesi persekolahan dan kit kendiri hanya akan digunakan pihak sekolah jika murid mula menunjukkan gejala di sekolah.

Sementara itu, katanya KPM menetapkan supaya kehadiran murid di sekolah dihadkan pada kadar 50 peratus daripada enrolmen keseluruhan.

Katanya, kaedah yang digunakan adalah dengan mengehadkan kapasiti murid dalam kelas kepada 50 peratus daripada jumlah murid dalam kelas tersebut.

Bagi tujuan itu, katanya sistem penggiliran murid hadir ke sekolah mengikut minggu akan dilaksanakan dan diguna pakai untuk semua kelas kecuali bagi kumpulan murid tertentu seperti yang disenaraikan di portal KPM. – HARAKAHDAILY 22/9/2021

Tiada ulasan: