22 September 2021

Sindiket 'scammer' terkedu diserbu polis

 

KUALA LUMPUR: Enam lelaki yang sedang rancak mencari mangsa penipuan dalam talian di sebuah pangsapuri di Cheras diserbu polis semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur, Superintendan Tan Poh Cheok berkata, serbuan oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersil dari Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras bersama Bahagian Siasatan Risikan dan Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Beliau berkata, suspek yang ditahan adalah lima lelaki warga asing serta seorang lelaki tempatan berusia 20 hingga 23 tahun.

"Suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan penipuan skim pelaburan dalam talian.

"Dalam serbuan sama, polis merampas enam unit komputer riba dan 12 unit telefon bimbit.

"Siasatan awal mendapati sindiket mula beroperasi sejak setahun lalu dengan menyasarkan mangsa dari China," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, polis menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah terpedaya dengan sebarang bentuk skim pelaburan atas talian dan segera tampil menyalurkan apa-apa maklumat berkaitan kes penipuan pelaburan ini.

Beliau berkata, maklumat mengenai sebarang jenayah atau aktiviti yang mencurigakan boleh disalurkan menerusi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584 /0585 atau balai polis berhampiran.

bh/-

Tiada ulasan: