09 September 2021

RM60 juta telah diguna bantu sekolah tahfiz, pondok, SAR

 

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM60 juta daripada RM100 juta yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2021, telah digunakan untuk membantu sekolah-sekolah tahfiz, pondok dan sekolah agama rakyat (SAR) yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, itulah yang diterangkan oleh Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad dan beliau dalam sesi taklimat bersama, petang semalam.

“Ini adalah sebahagian dari usaha Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), supaya institusi pendidikan Islam mampu berdiri utuh di sebalik cabaran yang melanda,” ujarnya dalam hantaran di laman Facebook beliau, semalam.

Menurutnya, selain penguatkuasaan, pengukuhan aspek pendidikan juga merupakan suatu nadi yang penting dalam memartabatkan Islam.

Tambah beliau, tanpa institusi pendidikan, Islam tidak akan mampu berdiri utuh, kerana tiada insan yang mampu mengamalkan nilai ajaran Islam itu sendiri

Katanya, beliau bersyukur atas usaha JAKIM yang terus menerus mempergiatkan usaha pengukuhan institusi pendidikan Islam, dalam menyelaras dan mentadbir Hal Ehwal Islam di Malaysia.

Peranan JAKIM, ujarnya amat diperlukan bagi memastikan syiar Islam terus dijunjung sebagai agama Persekutuan.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan di dalam taklimat itu supaya penekanan turut diberi kepada pemerkasaan akidah Islam yang sebenar.

Ini, ujarnya supaya masyarakat difahamkan berkenaan pemahaman akidah yang sebenar berdasarkan dalil dan hujah yang sahih.

“Semoga dengan usaha ini, nilai-nilai Islam akan terus berkembang dan meresap ke dalam jiwa seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa. – HARAKAHDAILY 8/9/2021



Tiada ulasan: