09 September 2021

Undang-undang antilompat kekal mandat pilih parti, bukan calon

 Dewan Rakyat. - Foto hiasan

Dewan Rakyat. - Foto hiasan

Oleh Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof

Mencari penyelesaian isu lompat parti perlu melihat punca dan asas masalah. Antara sebab undang-undang Malaysia membenarkan wakil rakyat lompat parti ialah sistem pilihan raya kita lebih berorientasikan soal 'pilihan berasaskan calon berbanding berasaskan parti.'

Maksudnya, apabila pengundi membuat undian sewaktu pilihan raya, sistem pilihan raya menganggap dia memilih calon itu sebagai wakilnya ke Dewan Rakyat. Parti pula sekadar simbol digunakan calon berkenaan.

Oleh itu, sistem pilihan raya kita membenarkan calon bebas bertanding tanpa mewakili mana-mana parti.

Jika calon menang dan menjadi wakil rakyat menukar haluan serta menyertai parti lain, undang-undang kita tidak menghalangnya. Alasannya, mandat rakyat diberikan kepada wakil rakyat secara individu sebagai calon pilihan raya, bukan kepada parti.

Bagi pengundi benar-benar memilih semata-mata kerana faktor calon, dia tentu boleh menerima tindakan wakil rakyatnya menukar parti. Namun, majoriti pengundi sukar menerimanya kerana pilihan mereka berteraskan parti, bukan calon.

Konsep ini berteraskan asas dalam Perlembagaan dan akta pilihan raya. Perlembagaan Persekutuan tidak merujuk kepada parti politik dalam peruntukan berkaitan keanggotaan Dewan Rakyat. Prinsip ini terkandung dalam Perkara 44-65 berkaitan Badan Perundangan Persekutuan.

Undang-undang pilihan raya seperti Akta Pilihan Raya 1958 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1952 pula tidak mengandungi peruntukan merujuk parti politik.

Bahkan peruntukan signifikan dalam Akta Pilihan Raya 1958 seperti Seksyen 13 berkaitan pencalonan dan seksyen 16 mengenai pengisytiharan keputusan pilihan raya, rujukan dibuat hanya calon bertanding, bukan parti.

Jika kita hanya merujuk undang-undang semasa, mandat rakyat secara perundangannya diberikan kepada calon, bukan parti atau gabungan parti. Namun, mandat dari sudut perundangan mungkin berbeza dengan mandat dari sudut realiti.

Berdasarkan beberapa tinjauan, didapati majoriti pengundi memilih atas faktor parti atau gabungan parti, bukan calon. Personaliti calon memang ada pengaruh, tetapi tidak dominan.

Jadi wujud pertentangan antara konsep mandat diperuntukkan undang-undang dengan realiti. Sebab itulah, undang-undang antilompat perlu diperkenalkan bagi mengimbangi kelemahan ini. Namun, ia perlu dilakukan dengan cara betul.

Ada pihak terkeliru mencari punca masalah lompat parti. Sebenarnya kaitan antara wakil rakyat dan parti dalam konteks ini bukan dari sudut keahlian parti, tetapi penggunaan simbol sewaktu dicalonkan pada pilihan raya.

Kebenaran menggunakan simbol parti politik disebut dalam peraturan pilihan raya, iaitu Peraturan 11(2), Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981. Berikut petikan peruntukan berkenaan:

(b) Tertakluk kepada subperaturan ini, pegawai pengurus hendaklah menguntukkan kepada setiap calon suatu simbol diluluskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengikut apa-apa cara difikirkannya sesuai.

(c) Bagi maksud subperaturan ini sesuatu parti politik boleh mengemukakan kepada SPR untuk diluluskannya dan untuk didaftarkan, jika diluluskan sedemikian, suatu simbol dalam subperaturan ini disebut 'simbol parti,' bagi kegunaan calon dalam mana-mana pilihan raya.

d) Sebagai ganti simbol diuntukkan mengikut perenggan (b), pegawai pengurus hendaklah, atas permintaan mana-mana calon menguntukkan kepadanya suatu simbol parti.

Dengan syarat tiada simbol parti boleh diuntukkan sedemikian kecuali apabila dikemukakan calon itu suatu kebenaran bertulis ditandatangani seorang pegawai parti itu yang bertanggungjawab membenarkan calon itu menggunakan simbol parti itu bagi maksud pilihan raya itu.

Berdasarkan peraturan itu, definisi lompat di sini bukan keluar daripada keahlian parti, tetapi keluar daripada keanggotaan parti diwakilinya, iaitu parti dijadikan simbol pada pilihan raya.

Keanggotaan dibuktikan melalui surat kebenaran bertulis oleh presiden atau setiausaha agung parti membenarkan calon itu menggunakan simbol parti berkenaan. Surat kebenaran bertulis perlu ditandatangani ini diperuntukkan dalam Peraturan 11(2).

Oleh itu, undang-undang antilompat parti perlu mengandungi ketetapan seseorang ahli Dewan Rakyat dipilih pada pilihan raya yang dia dicalonkan mewakili sesebuah parti politik hendaklah mengosongkan kerusinya jika dia keluar daripada parti itu atau mengundi di Parlimen bertentangan kehendak parti itu.

Berdasarkan konsep ini, sebaik sahaja calon berkenaan memenangi pilihan raya, dia dianggap ahli Dewan Rakyat mewakili parti dan perlu kekal setia sehingga pembubaran Parlimen.

Jika dia menukar parti atau mengundi bertentangan kehendak partinya di Dewan Rakyat, dia terhenti menjadi wakil rakyat dan kerusinya diisytiharkan kosong.

Definisi 'parti' di sini termasuk parti politik biasa atau gabungan. Oleh itu, seseorang wakil rakyat bertanding menggunakan simbol gabungan seperti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH), maka dia dianggap terikat dengan gabungan berkenaan.

Jika undang-undang halang lompat parti dibuat berdasarkan keahlian parti tanpa merujuk penggunaan simbol waktu pilihan raya, maka ia boleh mewujudkan kecelaruan dalam pelaksanaan undang-undang.

Ia juga menimbulkan persoalan dari sudut penyelesaian kepada isu mandat rakyat.

Misalnya seorang wakil rakyat ialah ahli MIC dan bertanding menggunakan simbol BN. Andaikan berlaku pergolakan dalam BN dan MIC mengisytiharkan keluar daripada gabungan itu, namun disebabkan dia tidak keluar partinya, iaitu MIC, maka kerusi mereka dalam Dewan Rakyat terus kekal.

Namun, adakah kesan perundangan itu benar-benar menepati mandat sebenar rakyat yang memangkah simbol BN pada pilihan raya?

Dari sudut lain pula, undang-undang halang lompat parti dibuat berdasarkan keahlian parti mengekang kebebasan dari aspek kebebasan berpersatuan.

Jika dilihat kecenderungan mahkamah dalam kes Nordin Salleh lawan Dewan Undangan Negeri Kelantan (1993), kita dapat faham halangan berasaskan keahlian parti bertentangan kebebasan berpersatuan.

Ia berdasarkan logik seseorang wakil rakyat tidak wajar dihukum semata-mata kerana bertukar persatuan. Parti politik sekarang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 sebagai satu entiti pertubuhan atau persatuan.

Oleh itu, 'hukuman' hilang kerusi hanya sesuai jika dikaitkan punca bagaimana dia mendapat kerusi berkenaan. Puncanya bukan keahlian parti, tetapi penggunaan simbol sewaktu menjadi calon pilihan raya.

Prinsip ini penting difahami agar cadangan penyelesaian benar-benar merungkaikan kekusutan, bukannya menambahkannya.

Ringkasnya, reformasi perundangan bagi mengatasi masalah budaya lompat parti perlu ditangani segera dan bersungguh-sungguh dengan meneliti punca sebenar masalah. Soal mandat rakyat difahami melalui Perlembagaan dan undang-undang pilihan raya tidak boleh diketepikan.

Sekarang kita berada dalam situasi terbaik melaksanakan perubahan dalam sistem pilihan raya dan pentadbiran agar sistem lebih menjamin kestabilan. Diharapkan ia dapat dilaksanakan dengan cepat dan menggunakan cara tepat.

Penulis adalah Pensyarah Undang-undang dan Perlembagaan, Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia

Tiada ulasan: