09 September 2021

RM81.3 juta diperuntuk kurangkan risiko banjir termenung di Batu Pahat

 

Tuan Ibrahim meninjau beberapa kawasan kampung yang mengalami masalah banjir termenung di Seri Medan, Batu Pahat, hari ini.

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia sedang melaksanakan dua projek pembangunan di daerah Batu Pahat, bagi mengurangkan risiko banjir termenung.

Menterinya, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia melibatkan projek menaik taraf Sistem Saliran Mesra Alam (SMA) dengan kos projek keseluruhan bernilai RM32.8 juta.


Katanya, projek itu dilaksanakan bagi mengatasi masalah banjir disebabkan masalah sistem saliran yang tidak sempurna, kejadian hujan lebat dan fenomena air pasang besar.

Tambahnya, projek itu turut melibatkan dua projek menaik taraf sistem saliran Sungai Suloh dan Peserai di daerah Batu Pahat yang sedang dalam pelaksanaan.

Menurutnya lag, projek menaik taraf Sistem SMA Sungai Suloh telah siap 45 peratus manakala Projek Menaiktaraf Sistem SMA Peserai telah siap 30 peratus.

Katanya, kedua-dua projek ini dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2022.

Di samping itu, satu lagi projek ialah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Batu Pahat dengan kos projek keseluruhan bernilai RM48.5 Juta.

Projek itu, ujarnya akan mengurangkan risiko banjir termenung sekiranya berlaku kejadian hujan lebat di kawasan Seri Medan dan di bahagian hulu iaitu Chaah dan Segamat serta kejadian air pasang besar.

Tambahnya, projek RTB Sungai Batu Pahat sedang dalam proses pra-pelaksanaan bagi perkhidmatan perunding. Pelantikan kontraktor akan dibuat pada tahun hadapan dan projek ini dijangka siap dalam masa tiga tahun.

“Pelaksanaan projek-projek ini ianya akan memberi manfaat kepada lebih 10,120 penduduk yang sering mengalami masalah banjir termenung,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, kata beliau ia dapat mengelakkan kerugian kepada peladang kelapa sawit di sekitar kawasan berisiko yang tidak dapat mengutip hasil kebun jika berlaku kejadian banjir.

“Secara keseluruhan, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe12), KASA melalui JPS Malaysia sedang dalam tindakan bagi melaksanakan 15 projek pembangunan untuk mengurangkan risiko banjir dan pemuliharaan sungai di Negeri Johor,” jelasnya.

Katanya, kos keseluruhan projek itu dianggarkan berjumlah RM1.43 bilion yang melibatkan 13 projek sambungan dan dua projek baharu.

Beliau menjelaskan, beberapa kawasan di daerah Batu Pahat, Johor telah mengalami kejadian banjir sejak pertengahan Ogos 2021.

Menurutnya, kejadian banjir itu adalah disebabkan oleh fasa monsun melemah (monsoon break) seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Meterologi Malaysia (MET Malaysia).

“Hujan lebat yang berterusan bersama fenomena air pasang besar menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Daerah Batu Pahat dilanda banjir,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Belaiu berkata, pertembungan hujan lebat dan air pasang besar itu telah menyebabkan limpahan air sungai ke kawasan yang rendah. – HARAKAHDAILY 9/9/2021

Tiada ulasan: