09 September 2021

Parti pemerintah Islam di Maghribi kalah teruk

 Presiden Parti Keaslian dan Kemodenan (PAM), Abdellatif Ouahbi (tengah) berucap selepas partinya menduduki tempat kedua dalam pilihan raya tempatan dan Parlimen di Maghribi. - Foto AFP

Presiden Parti Keaslian dan Kemodenan (PAM), Abdellatif Ouahbi (tengah) berucap selepas partinya menduduki tempat kedua dalam pilihan raya tempatan dan Parlimen di Maghribi. - Foto AFP

RABAT: Parti pemerintah Islam di Maghribi mengalami kekalahan teruk di tangan parti liberal pada pilihan raya Parlimen negara itu.

Parti Keadilan dan Pembangunan Islam (PJD) yang memerintah selama lebih sedekad, hanya memenangi 12 daripada 125 kerusi yang dimilikinya sebelum ini.

Perkara itu diumumkan Menteri Dalam Negeri, Abdelouafi Laftit, dalam satu taklimat media selepas proses pengundian berakhir semalam.

Sementara itu, pesaing utama PJB iaitu parti liberal utama yang dikatakan rapat dengan Istana, Himpunan Calon Bebas Nasional (RNI) dan Parti Keaslian dan Kemodenan (PAM), masing-masing memenangi 97 dan 82 kerusi.

Sementara itu, parti haluan kanan, Parti Istiqlal memperoleh 78 kerusi daripada keseluruhan 395 kerusi Parlimen.

RNI, yang sebelum ini anggota 'junior' dalam gabungan parti pemerintah, diketuai oleh ahli perniagaan jutawan, Aziz Akhannouch, yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan istana.

PAM pula adalah parti pembangkang utama ditubuhkan oleh penasihat kerajaan sekarang, Fouad Ali El Himma, pada 2008 manakala Parti Istiqlal (Kemerdekaan) pula adalah parti tertua di Maghribi.

Raja Mohammed VI akan menamakan perdana menteri dari parti yang memenangi pemilihan Parlimen bagi mentadbir negara dengan 36 juta rakyat itu untuk lima tahun akan datang, menggantikan Saad-Eddine El Othmani.

Sejumlah 50.35 peratus pemilih keluar mengundi, lebih tinggi berbanding 43 peratus dicatatkan pada pilihan raya 2016.

Pilihan raya negara itu buat pertama kali menyaksikan 18 juta pengundi memilih wakil rakyat, wakil perbandaran dan wilayah pada hari yang sama.

Semalam, penyokong parti Islam mendakwa wujud 'penyelewengan serius' termasuk 'pemberian wang haram' di tempat mengundi dan berlaku 'kekeliruan' pada beberapa daftar pemilih, dengan nama beberapa pengundi tiada dalam senarai pemilih.

Namun, Menteri Dalam Negeri menafikan perkara itu dan menegaskan proses pengundian berlangsung dalam keadaan normal dan hanya beberapa kes terpencil berlaku.

Pada 2011, Maghribi melaksanakan perlembagaan baharu yang menyerahkan banyak kuasa Raja kepada Parlimen dan pemerintah.

Namun, keputusan dalam beberapa bidang utama masaih ditentukan atas oleh Raja Mohammed VI. - AFP

Tiada ulasan: