28 Oktober 2021

24 juta penduduk dapat pelalian

 Kadar pelalian dalam kalangan remaja di Kelantan masih di bawah 60 peratus. Gambar hiasan perahu kolek yang menjadikan pengangkutan harian nelayan di Pulau Gajah Pantai Sabak, dekat Kota Bharu. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Kadar pelalian dalam kalangan remaja di Kelantan masih di bawah 60 peratus. Gambar hiasan perahu kolek yang menjadikan pengangkutan harian nelayan di Pulau Gajah Pantai Sabak, dekat Kota Bharu. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

KUALA LUMPUR: Jumlah penduduk Malaysia yang sudah menerima dos lengkap vaksin COVID-19 melonjak kepada lebih 24 juta individu atau 73.6 peratus daripada kira-kira 32 juta penduduk negara.

Kadar itu dicapai kira-kira 38 hari selepas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja bermula secara rasmi pada 19 September lalu.

Portal COVIDNOW menunjukkan setakat semalam, 94.8 peratus atau 22.1 juta golongan dewasa lengkap pelalian, dan 97.5 peratus atau 22.8 juta sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

Bagi golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 82 peratus atau lebih 2.5 juta menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, dan 58.8 peratus atau lebih 1.8 juta pula sudah lengkap imunisasi.

Setakat semalam, hanya sekitar 580,000 atau 2.5 peratus daripada 23.4 juta penduduk dewasa masih belum menerima pelalian, dan sejumlah 570,000 atau 18 peratus daripada 3.2 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun belum divaksin.

Ketika ini, hanya dua negeri masih mencatat jumlah penduduk dewasa lengkap divaksin di bawah 80 peratus, iaitu Kelantan (78 peratus) dan Sabah (72.5 peratus), manakala lapan negeri dan wilayah sudah merekodkan lebih 90 peratus.

Kelantan dan Sabah turut mencatat kadar vaksinasi terendah dari segi jumlah penduduk keseluruhan menerima dos lengkap, apabila kedua-dua negeri itu merekodkan kadar di bawah 60 peratus.

Berdasarkan kadar vaksinasi semasa iaitu 181,160 dos semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) menjangka 80 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia akan lengkap pelalian pada 12 Disember depan, iaitu 46 hari lagi.

Dengan peningkatan kadar vaksinasi lengkap itu, jumlah kes harian dan kemasukan ke hospital akibat COVID-19 di Malaysia dijangka terus menurun, dengan syarat orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal serta kerap mencuci tangan.

Ketika ini, Model SEIR membabitkan pemerhatian kes harian COVID-19 oleh KKM mengunjurkan kes harian di Malaysia berpotensi turun sehingga di bawah 1,000 pada Disember depan, jika kadar pelalian mencecah 80 peratus hujung bulan ini, serta SOP dipatuhi.

bharian/-

Tiada ulasan: