28 Oktober 2021

Kes harian COVID-19 di Singapura lepasi 5,000 buat pertama kali

  Foto fail AFP

Foto fail AFP

SINGAPURA: Kes baharu COVID-19 di Singapura semalam melepasi 5,000 kes, pertama kali direkodkan republik itu.

Kementerian Kesihatan (MOH) melaporkan 5,324 kes baharu setakat tengah hari semalam dengan 10 lagi kematian akibat komplikasi virus itu.

Kes kematian membabitkan individu berusia antara 54 dan 96 tahun. Ini menjadikan jumlah kematian di Singapura akibat coronavirus meningkat kepada 349 kes.

Kes positif semalam meningkat berbanding 3,277 kes yang dilaporkan kelmarin.

Data dikeluarkan MOH malam tadi menunjukkan daripada 5,324 kes baharu, 5,312 kes membabitkan jangkitan tempatan, merangkumi 4,651 kes dalam komuniti dan 661 kes membabitkan asrama pekerja.

"Jangkitan luar biasa tinggi hari ini kebanyakannya disebabkan banyak kes positif COVID dikesan makmal ujian dalam masa beberapa jam pada sebelah petang.

"MOH sedang meneliti lonjakan luar biasa kes dalam tempoh yang agak singkat, dan memantau dengan teliti trend untuk beberapa hari akan datang," menurut kementerian itu.

Kadar pertumbuhan jangkitan mingguan ialah 1.15 semalam, merujuk kepada nisbah kes komuniti untuk minggu lalu berbanding minggu sebelumnya.

Dalam tempoh 28 hari lalu, 98.7 peratus daripada 90,203 individu yang dijangkiti tidak bergejala atau hanya gejala ringan.

Sebanyak 0.9 peratus lagi memerlukan oksigen, 0.1 peratus tidak stabil dan di bawah pemantauan rapi di unit rawatan rapi (ICU), manakala 0.1 peratus kritikal dan diintubasi di ICU.

Setakat semalam, Singapura melaporkan keseluruhan kes COVID-19 sebanyak 184,419 sejak pandemik bermula di negara itu.

Kadar penggunaan katil ICU ketika ini mencecah 79.8 peratus dan MOH dalam proses untuk menambah jumlah katil di unit berkenaan.

Sepanjang tujuh hari lalu, bilangan yang divaksin sepenuhnya dan kini kritikal di ICU bagi setiap 100,000 penduduk adalah pada 0.5, manakala kes yang tidak divaksin sepenuhnya adalah pada 4.3.

Dalam tempoh yang sama, bilangan kes yang meninggal dunia yang divaksin sepenuhnya dan tidak divaksin sepenuhnya masing-masing adalah 0.1 dan 0.8 bagi setiap 100,000 penduduk.

Dalam kalangan warga emas berumur 60 tahun ke atas, bilangan kes yang divaksin sepenuhnya dan tidak divaksin sepenuhnya yang kritikal di ICU masing-masing adalah 2.2 dan 32.6. Bilangan warga emas yang divaksin sepenuhnya dan tidak divaksin sepenuhnya yang meninggal dunia masing-masing adalah 0.3 dan 7.7.

Sehingga kelmarin, 84 peratus penduduk di Singapura menerima vaksin lengkap atau dua dos vaksin COVID-19, manakala 85 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos dan 14 peratus menerima suntikan penggalak. - AGENSI


 

Tiada ulasan: