28 Oktober 2021

Visa umrah jamin slot umrah, solat 5 waktu di Masjidil Haram

  Foto fail AFP

Foto fail AFP

SINGAPURA: Pemegang visa umrah dijamin sekurang-kurangnya satu slot ibadah umrah dan tempahan solat lima waktu di Masjidil Haram serta satu slot ziarah di makam Nabi dan Raudah di Masjid Nabawi walaupun harganya lebih mahal berbanding visa ziarah.

Berikutan itu pemegang visa umrah akan kurang terdedah kepada risiko tidak mendapat slot menunaikan umrah atau ziarah ke makam Rasulullah dan Raudah berbanding visa ziarah.

Memetik laporan Berita Harian (BH) Singapura, jemaah dengan visa ziarah perlu membuat tempahan sendiri menerusi aplikasi mudah alih disediakan pihak berkuasa Arab Saudi.

Visa umrah dikenakan antara SAR750 (RM831) hingga SAR850 (RM941) berserta cukai dan sah selama 30 hari, manakala visa ziarah berserta cukai berharga SAR440 (RM487) dan selama 360 hari, menurut laman kedutaan Arab Saudi.

Jurucakap pasukan pembelajaran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Muslim Singapura (Amtas), Juyda Noor Mohamad, berkata visa umrah juga menjamin jemaah dapat melakukan kesemua ibadah itu sekurang-kurangnya sekali, berbanding pemegang visa ziarah, lebih-lebih lagi jika terdapat perubahan peraturan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

Misalnya, Kementerian Umrah dan Haji Arab Saudi mengumumkan kelmarin jemaah tidak boleh menempah permit slot ziarah ke Raudah jika sudah berbuat demikian menerusi aplikasi Etamarna, dan perlu menunggu 30 hari untuk menempah slot itu lagi menerusi aplikasi berkenaan.

Hujung minggu lalu, wartawan BH Singapura yang menyertai lawatan pembelajaran Amtas ke Madinah dan Makkah meninjau proses ziarah ke Raudah sekurang-kurangnya dua kali, satu menerusi permit yang disediakan visa umrah dan satu menerusi aplikasi Etamarna.

Wartawan BH Singapura mendapati tempahan ziarah ke Raudah sekali lagi menerusi Etamarna tidak boleh dilakukan, sebaliknya perlu menunggu sebulan lagi.

Juyda berkata perkara itu menjadi satu cabaran yang menjejas kedua-dua jenis visa, tetapi lebih kepada visa ziarah.

"Ini kerana mereka (pemegang visa ziarah) datang ke Arab Saudi tanpa jaminan mereka mempunyai tempahan umrah dan ziarah, meskipun harga visa ziarah itu memang lebih murah," kata Juyda.

Tidak seperti pemegang visa umrah yang dijamin mendapat tempahan oleh pihak berkuasa umrah dan haji Arab Saudi, pemegang visa ziarah perlu menempah slot umrah dan solat di Masjidil Haram dan ziarah ke Raudah dan Makam Rasulullah di Masjid Nabawi sendiri menerusi aplikasi Etamarna.

BH Singapura juga melaporkan tempahan hanya boleh dilakukan setiba jemaah di Arab Saudi dan selepas mendapatkan kad SIM telekomunikasi negara itu.

Bagi pemegang visa umrah, sekurang-kurangnya satu slot diaturkan terlebih dahulu dan boleh menempah lebih banyak slot menerusi aplikasi Etamarna, berbeza dengan pemegang visa ziarah yang perlu membuat tempahan sendiri menerusi aplikasi Etamarna kerana tiada slot diatur terlebih terdahulu.

Sehingga kini, selain ibadah berkenaan, ziarah ke tempat lain di Arab Saudi tidak dibenarkan bagi pemegang visa umrah.

Pemegang visa ziarah boleh membuat kunjungan ke tempat bersejarah, bergantung pada peraturan terkini kerajaan Arab Saudi. - AGENSI

Tiada ulasan: