25 Oktober 2021

EU gesa proses peralihan Sudan ikut landasan

 

KHARTOUM: Kesatuan Eropah (EU) menggesa pihak tentera Sudan mengembalikan proses peralihan negara ‘dalam landasan yang betul’.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan rampasan tentera di negara itu sehingga menyebabkan Perdana Menteri Sudan, Abdalla Hamdok yang dikenakan tahanan rumah dibawa oleh pihak tentera ke lokasi yang tidak diketahui.

Ketua Hal Ehwal Luar EU, Josep Borrell memuat naik ciapan Twitter susulan keadaan tidak menentu di negara itu, lapor BBC.

Pihak tentera Sudan belum mengeluarkan sebarang komen mengenai penahanan beberapa pemimpin negara itu.

Dalam pada itu, seramai 12 orang mengalami kecederaan selepas berlaku pertempuran antara penunjuk perasaan dengan pihak tentera di ibu negara Sudan, Khartoum.

Perkhidmatan internet dan telefon dilaporkan turut terganggu ketika ini.

Anggota polis di bandar Khartoum turut melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang menuntut pemindahan kuasa daripada tentera kepada kerajaan pilihan rakyat.

Pentadbiran Abdalla mencetusan kontroversi sebelum ini apabila bertindak merampas aset Petronas milik Malaysia kerana mendakwa aset tersebut diperoleh secara tidak sah semasa pentadbiran Omar al-Bashir.

Kerajaan Sudan hari ini bukan lagi kerajaan Sudan yang dahulu di mana Presiden Omar al-Bashir yang berkuasa ketika Malaysia menghulur tangan bantuan kepada Sudan lebih 20 tahun lalu, dijatuhkan melalui rampasan kuasa pada April 2019.

Kerajaan Sudan hari ini juga bertindak mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel sebagai balasan janji pelaburan besar-besaran dari Barat yang dibuat Amerika Syarikat (AS) di bawah Presiden Trump sebelum ini.

UTUSAN.

Tiada ulasan: