15 Oktober 2021

Rakyat Malaysia dibenar tunai umrah mulai Isnin

 Gambar hiasan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia dibenar mengerjakan umrah berkuat kuasa Isnin ini, selaras dengan pemansuhan MyTravelPass untuk ke luar negara, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan pelancongan ke luar negeri bagi tujuan umrah yang dibentangkan pada Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal Pengurusan Pandemik bertarikh 27 September lalu turut diwartakan selaras kebenaran rentas negeri dan negara bermula 11 Oktober lalu.

"Sehubungan itu, jemaah dibenarkan mengerjakan umrah selaras dengan keputusan memansuhkan keperluan MyTravelPass untuk ke luar negara. Kebenaran ini berkuat kuasa 18 Oktober 2021 (Isnin)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kebenaran itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, mesyuarat bersetuju mengurangkan tempoh perintah pengawasan pemerhatian bagi pengembara dari luar negara.

Katanya, pengembara yang sudah menerima vaksinasi lengkap perlu menjalani kuarantin tujuh hari di rumah jika sesuai atau di stesen kuarantin manakala bagi yang belum lengkap vaksin, tempoh kuarantin adalah selama 10 hari di stesen kuarantin.

"Tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian bagi kontak rapat turut dikurangkan iaitu selama tujuh hari kuarantin bagi mereka yang lengkap divaksin dan 10 hari bagi mereka yang belum lengkap atau tiada vaksinasi," katanya.

Perdana Menteri berkata, SOP lain yang dilonggarkan adalah operasi rehat dan rawat (R&R) di semua lebuh raya dalam negara dibenarkan beroperasi 24 jam mulai esok.

Malah, kenderaan e-hailing dibenarkan mengambil penumpang berdasarkan kapasiti tempat duduk kenderaan bagi semua fasa PPN mulai esok.

"Pembukaan Perkhidmatan Pusat Siber dan Kafe Siber dipersetujui berkuat kuasa Ahad ini dengan penyelarasan kapasiti 80 peratus bagi fasa tiga dan 100 peratus bagi fasa empat," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) dibenarkan di negeri PPN fasa tiga secara bersemuka, membabitkan individu yang lengkap divaksin berkuat kuasa Isnin ini.

"Kebenaran itu termaktub dengan syarat iaitu melaksanakan ujian saringan COVID-19 melalui kaedah 'saliva' atau RTK Antigen, mematuhi penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan kapasiti 50 peratus mengikut ruang," katanya.

bharian/-

Tiada ulasan: