15 Oktober 2021

Malaysia dapat tempat dalam Majlis Hak Asasi Manusia PBB

 

Perdana Menteri berkata, Malaysia sedia memainkan peranan aktif seperti menjadi pemudah cara bagi rundingan damai, pemboleh kerjasama dan pembina konsensus. (Gambar AP)

KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya meraih 183 undi untuk menduduki satu daripada 18 kerusi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi penggal 2022-2024.

“Kejayaan Malaysia menduduki kerusi Majlis Hak Asasi Manusia PBB merupakan pencapaian yang hebat dan pengiktirafan kepada status hak asasi manusia,” kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan perkara itu di laman Facebooknya malam tadi.

Beliau berkata, Malaysia sedia memainkan peranan aktif seperti menjadi pemudah cara bagi rundingan damai, pemboleh kerjasama dan pembina konsensus.

“Malaysia akan bekerjasama rapat dengan negara anggota PBB untuk memajukan agenda hak asasi manusia di peringkat global sebagaimana yang termaktub dalam Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia.

“Ketika semua negara merangka kerja-kerja asas bagi pemulihan yang mampan dan inklusif pasca #Covid19, hak asasi manusia perlu menjadi keutamaan dalam semua usaha kita. Dalam kesatuan, demi kemanusiaan,” katanya.

Dalam hantaran di Twitter malam tadi, majlis berkenaan turut menyenaraikan negara lain yang menjadi anggota seperti Argentina, Cameroon, Finland, India, Qatar, Somalia, Emiriah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat.

FMT/-

Tiada ulasan: