15 Oktober 2021

Aliran trafik menuju utara meningkat

 

KENDERAAN di Lebuhraya PLUS arah utara (kanan) di laluan dari Tapah ke Gopeng yang meningkat hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI

IPOH: Aliran trafik di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) menuju ke utara masih terkawal walaupun jumlah kenderaan bertambah susulan kebenaran aktiviti rentas negeri.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, aliran trafik terkawal pada skala satu dan dua termasuk keadaan semasa di hentian rehat dan rawat (R&R) serta susur keluar dan masuk plaza tol.

“Sejak semalam, keadaan lebuh raya di bawah konsesi PLUS menunjukkan sedikit peningkatan dari arah selatan menuju utara.

“Trend peningkatan jumlah kenderaan itu dijangka meningkat di kedua-dua arah lebuh raya sehingga Selasa ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mior Farid, aliran trafik di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) yang merupakan jalan utama menghubungkan Perak, Kelantan dan Kedah turut menunjukkan peningkatan.

Katanya, aliran kenderaan bertambah bermula tengah hari ini dari arah Gerik menghala ke Jeli namun keadaan lalu lintas masih lancar di skala tiga.

“Bagaimanapun, keadaan di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di Batu 5, Teluk Intan-Beruas tidak menunjukkan peningkatan aliran kenderaan setakat hari ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, terdapat sedikit peningkatan jumlah kenderaan di Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri serta Bandaran namun tiada kesesakan luar biasa dikesan.

“Pada sebelah petang tadi, terdapat sedikit peningkatan aliran trafik di sekitar bandar raya Ipoh yang mana lalu lintas bergerak perlahan.

“Punca yang dikenal pasti adalah waktu puncak pengguna jalan raya yang ingin pulang ke rumah selepas waktu kerja yang mana merupakan pergerakan setempat,” katanya.

Tambah beliau, pasukan Pemantauan Lalulintas Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak bersama pasukan bantuan kawalan lalulintas (Jammed Skuad) melakukan rondaan secara berkala di seluruh negeri sejak semalam.

“Aliran trafik dijangka bertambah pada hujung minggu ini kerana orang ramai mengambil peluang pulang ke kampung berjumpa keluarga.

“Oleh itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di samping mematuhi SOP yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: