21 Oktober 2021

Tahi tikus bersepah, belacan dipijak

 

Pihak berkuasa melihat seorang pekerja menjemur belacan sambil berjalan memakai selipar di sebuah kilang di Butterworth semalam.

SEBERANG PERAI – Penggemar tauhu dan belacan pastinya akan hilang selera jika mereka menge­tahui premis yang memproses produk makanan itu di dua buah kilang di sini berada dalam ke­a­daan kotor sehingga diarahkan tutup.

Pengusaha kilang tauhu di Kampung Selamat, Tasek Gelugor di sini dan sebuah lagi premis menghasilkan belacan di Butterworth diarah untuk menutup operasi mereka selama dua ming­gu mulai semalam bagi kerja-kerja pembersihan.

Tindakan di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 tersebut dibuat susulan penemuan najis tikus di kedua-dua premis terbabit, malah belacan yang dijemur di sebuah kilang dipercayai turut dipijak oleh pekerja di situ.

Kedua-dua produk makanan tersebut dipercayai untuk pasaran tempatan di sekitar Pulau Pinang sahaja.


Mohd. Wazir memeriksa produk tauhu yang dikeluarkan di sebuah kilang di Tasek Gelugor.

Ketua Unit Penguatkuasaan Bahagian Kese­lamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan negeri, Mohd. Wazir Khalid berkata, najis tikus itu ditemui bertaburan di dalam stor makanan dan barang-barang di kedua-dua premis berkenaan dalam Ops Bersih yang dijalankan semalam.

Menurutnya, serbuan pertama dibuat terhadap sebuah kilang memproses tauhu di Kampung Selamat, Tasek Gelugor yang dipercayai telah beroperasi selama 10 tahun.

“Sebenarnya, kilang ini pernah diperiksa lebih dua bulan lalu, namun operasi pemeriksan yang dijalankan pihak berkuasa ketika itu hanya melibatkan soal pematuhan SOP (prosedur operasi standard) pencegahan Co­vid-19.

“Bagaimanapun, apabila ki­lang itu diperiksa semula hari ini (semalam), kami telah menjumpai najis tikus di dalam stor makanan dan barang-barang mereka,” katanya kepada pemberita semalam.

Mohd. Wazir memberitahu, selain najis tikus, keadaan kilang tauhu terbabit juga kotor dengan lebihan tauhu bersepah di atas lantai dan di sekitar mesin penghasilan makanan itu.

Pegawai Unit Penguatkuasaan BKKM Jabatan Kesihatan negeri menunjukkan najis tikus yang ditemui di sebuah kilang belacan
di Butterworth.

Dalam serbuan kedua, Mohd. Wazir berkata, kilang mempro­ses belacan di Butterworth dipercayai telah bero­perasi lebih lima tahun tanpa memiliki lesen perniagaan yang sah dan menggunakan logo halal meragukan.

Katanya, operasi premis ter­babit dipercayai berselindung di sebalik sebuah kilang lain iaitu kilang memproses gaharu yang dipercayai mempunyai ikatan saudara dengan pemilik kilang memproses belacan itu.

“Kilang kedua yang diserbu ini juga mempunyai masalah berkaitan tahap kebersihan apabila belacan yang dijemur untuk diproses itu dipercayai turut dipijak oleh pekerja di situ,” ujarnya.

Mohd. Wazir memberitahu, dalam operasi itu, pihaknya mendapati lapan hingga sembilan pekerja di kedua-dua kilang terbabit belum mendapat suntikan typhoid dan mereka turut dikenakan kompaun secara individu untuk kesalahan itu.

Katanya, kesalahan lain yang turut dikesan dalam serbuan itu termasuk peralatan yang digunakan kotor, tidak memakai sarung tangan dan penutup kepala.

“Secara keseluruhannya, kami telah mengeluarkan sebanyak tujuh notis kompaun bernilai RM12,000 atas pelbagai kesalahan berkaitan kebersihan terhadap premis-premis terbabit,” ujarnya.

Selain 15 anggota Jabatan Ke­sihatan negeri khususnya BKKM, Ops Bersih itu turut disertai dua anggota penguat kuasa daripada Bahagian Pelesenan Majlis Bandaraya Seberang Perai.

Kosmo/-

Tiada ulasan: