21 Oktober 2021

DUN Sarawak mungkin dibubar beberapa hari lagi

 Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah

ASAJAYA: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah tidak menolak kemungkinan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan dalam beberapa hari lagi.

Beliau berkata, ia bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN Ke-12) Sarawak diadakan, selepas DUN yang sepatutnya dibubarkan pada 7 Jun lalu ditunda susulan perlanjutan Proklamasi Darurat di Sarawak sehingga 2 Februari 2022.

"Mungkin dalam sehari dua ini kita akan mendengar berita berkenaan pembubaran DUN dan sebagainya.

"Saya sendiri juga sedang menunggu kerana kita perlu memberi semula mandat kepada rakyat untuk menentukan kerajaan yang akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat tapak pembinaan projek Jalan Pesisir PA1 - Simpang Tambey ke Asajaya, bersama Menteri Muda Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur Datuk Julaihi Narawi, hari ini.

Ketika ini, desas-desus bertiup kencang mengenai PRN-12 Sarawak, dengan beberapa portal berita melaporkan Ketua Menteri, yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, dijangka membubarkan DUN esok.

Bagaimanapun, Pejabat Ketua Menteri menafikan perkara itu menerusi satu kenyataan hari ini dan menyatakan tidak ada pengumuman seumpama itu yang dijadualkan buat masa sekarang atau esok.

Sementara itu, mengenai Undi 18, Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan Sarawak menyifatkan dakwaan pihak pembangkang bahawa kerajaan takut dengan Undi 18 adalah tidak masuk akal.

Beliau menegaskan tidak ada sebab untuk takut dengan Undi 18, sebaliknya ia dialu-alukan kerana itu hak rakyat untuk mengundi.

"Bukannya semua Undi 18 akan memihak kepada mereka atau kami, jika bukan Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini, kita tetap akan bertemu lagi pada PRU akan datang," katanya.

bharian.

Tiada ulasan: