MANILA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan 20 juta orang atau separuh penduduk Myanmar kini hidup di bawah paras kemiskinan dan berpotensi menjadi pelarian.
Pemangku Residen Penyelaras PBB di Myanmar, Andrew Kirkwood, berkata krisis di negara itu bertambah buruk sejak rampasan kuasa didalangi tentera pada 1 Februari lalu.
"Krisis dialami Myanmar sekarang adalah sesuatu yang tidak pernah disaksikan dalam tempoh 20 tahun lalu dan dikhuatiri bertambah buruk jika tidak ditangani segera.
"Kita sering menggunakan istilah krisis di dunia ini tetapi saya ingin menekankan hari ini bahawa rakyat Myanmar kini benar-benar berada dalam krisis yang paling teruk, biar apa pun kata orang lain.
"Faktor ini juga mendorong ramai penduduk Myanmar menjadi pelarian, sekali gus memberi tekanan kepada negara serantau terutama yang berjiran," katanya.
Myanmar dilanda kemelut sejak kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi digulingkan junta tentera tentera, yang menyaksikan tunjuk perasaan hampir setiap hari dan kecaman antarabangsa.
Kirkwood berkata, nasib rakyat Myanmar semakin terancam akibat pandemik COVID-19 berikutan junta tentera nampaknya gagal membendung penyebaran coronavirus mahu pun melaksanakan program vaksinasi.
Menurutnya, jumlah mereka yang memerlukan bantuan kemanusiaan di Myanmar meningkat dari satu juta kepada tiga juta sejak tentera mengambil alih kerajaan.
"PBB menyediakan bantuan makanan dan kewangan bagi 1.4 juta penduduk manakala 660,000 penduduk lagi mendapat perkhidmatan berkaitan perlindungan di kawasan konflik.
"Lebih 260,000 diberikan tempat perlindungan sementara manakala sekitar 330,000 lagi di beri akses air bersih," katanya.
Namun, Kirkwood mengakui bantuan itu tidak mencukupi, malah sekatan COVID-19 dan isu kawalan sempadan lain juga menjejaskan penyaluran bantuan kemanusiaan kepada penduduk Myanmar,
Sehubungan itu, beliau merayu kepada pemimpin dunia untuk melakukan apa saja yang boleh untuk membantu meningkatkan penyaluran bantuan kemanusiaan di Myanmar, termasuklah meningkatkan dana.
Katanya, mereka (PBB) sudah meminta sejumlah AS$385 juta (RM1.6 bilion) untuk bantuan kemanusiaan tetapi sekitar hanya AS$128 juta (RM532 juta) saja diluluskan setakat ini. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan