24 November 2021

23.6 juta pokok ditanam dalam Program Penghijauan Malaysia

 

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Kira-kira 23.6 juta pelbagai spesies pokok ditanam di seluruh negara dalam Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan, berkata program itu dirasmikan oleh Perdana Menteri pada 5 Januari lalu di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya dan dilancarkan secara serentak di semua negeri oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Katanya, kira-kira 6.5 juta daripada keseluruhan pokok yang ditanam adalah dalam kategori spesies terancam, iaitu sebanyak 322 spesies.

“Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 adalah antara inisiatif kerajaan bagi menggalakkan semua pihak bersama-sama menghijaukan bumi dengan menanam pokok,” katanya menjawab soalan lisan Fuziah Salleh (PH-Kuantan) di Dewan Rakyat, hari ini.

Takiyuddin berkata, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) juga membangunkan satu aplikasi mudah alih, iaitu ‘Penghijauan Malaysia’ dan laman web khas melalui pautan www.100jutapokok.gov.my.

Katanya, aplikasi mudah alih dan laman web tersebut boleh diguna oleh semua agensi kerajaan, swasta dan orang awam bagi merekodkan data penanaman pokok, sama ada mewakili agensi mahu pun individu.

Bagaimanapun, katanya sistem pengoperasian ‘Penghijauan Malaysia’ tidak mengklasifikasikan data dari kawasan luar bandar dan bandar, sebaliknya dibuat mengikut negeri, agensi atau individu penanam dan jenis pokok.

Setakat 22 November lalu, katanya bilangan pengguna aplikasi mudah alih berkenaan adalah seramai 4,139 orang.

Sementara itu, katanya pelbagai program secara dalam talian dijalankan bagi mempromosi kepada orang awam berhubung penanaman pokok sebagai aktiviti bermanfaat bagi mengisi masa lapang semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Program berkenaan dijalankan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Jabatan Perhutanan Sabah (JPS), Yayasan Hijau Malaysia (YHM), Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dan Jabatan Perhutanan negeri di Semenanjung,” katanya.

Beliau berkata, antara program berkenaan ialah penganjuran webinar Penghijauan Malaysia bersama The Habitat Foundation, JPSM dan FRIM.

Katanya, program lain ialah penanaman pokok secara virtual bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan Institusi Pengajian Tinggi serta pertandingan video kreatif bertemakan Penghijauan Malaysia melalui aplikasi media sosial dan program kesedaran dan penanaman pokok bersama komuniti setempat.

“Latihan penggunaan laman web secara dalam talian kepada agensi kerajaan Persekutuan dan negeri, NGO, syarikat swasta dan orang ramai turut diadakan,” katanya.

Selain itu, katanya hebahan diadakan secara berterusan melalui stesen radio, televisyen dan akhbar tempatan serta platform media sosial seperti YouTube, Facebook, Twitter dan Instagram.

Malah, katanya ganjaran diberikan kepada pengguna kategori individu yang menanam pokok. – HARAKAHDAILY 24/11/21

Tiada ulasan: