24 November 2021

97.5 peratus guru sudah terima dua dos vaksin Covid-19

 

Sebanyak 97.5 peratus guru sudah divaksin sehingga 31 Oktober lalu.

KUALA LUMPUR: Sehingga 31 Oktober lalu, sebanyak 97.5 peratus guru sudah lengkap vaksinasi Covid-19.

Menjelaskan perkara itu, Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, 99.04 peratus guru telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.  

“Statistik dan data ini dikeluarkan dari semasa ke semasa.

“Mengenai tindakan bakal diambil terhadap guru yang enggan mengambil vaksin terbabit pula, akan berpandu kepada arahan dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JAP),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Wong Ling Biu (PH-Sarikei) ketika soalan tambahan meminta kerajaan menjelaskan berapa jumlah guru yang sudah menerima vaksin setakat ini.

Dalam perkembangan sama, Hang Soon berkata, terdapat tiga prinsip asas mengenai dasar pemindahan guru.

“Tiga prinsip asas itu ialah kekosongan jawatan, keperluan opsyen serta kepentingan dan keperluan perkhidmatan.

“Dalam hal ini, permohonan pertukaran boleh dibuat berdasarkan beberapa kategori, iaitu kesihatan, keselamatan, mengikut pasangan dan lain-lain,”jelasnya.

“Berdasarkan rekod kementerian dari 2017 hingga 2021, seramai 1,023 guru yang dari Sarawak telah diluluskan pertukaran dari Semenanjung ke negeri berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan: