24 November 2021

PRN Sarawak 18 Disember

 


KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak diadakan pada 18 Disember depan.Tarikh penamaan calon pula pada 6 Disember, manakala pengundian awal diadakan pada 14 Disember.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh mengumumkan tarikh penting PRN-12 itu dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di sini, hari ini.

SPR tidak dapat mengadakan PRN Sarawak selepas tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir pada 6 Jun lalu berikutan perisytiharan darurat di seluruh negara ketika itu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat di seluruh negara pada 11 Januari sehingga 1 Ogos, bagi mengekang penularan COVID-19.

Apabila darurat di seluruh negara berakhir pada 1 Ogos, Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di Sarawak bermula 2 Ogos hingga 2 Februari 2022.

Darurat ini ditarik balik pada 3 November lalu, sekali gus membolehkan SPR mengadakan pilihan raya Sarawak.

Susulan penamatan darurat itu, DUN Sarawak turut terbubar pada 3 November dan ia memberi laluan kepada PRN-12 Sarawak yang mempunyai 82 kerusi DUN.

Dalam sidang media itu, Abdul Ghani berkata, seramai 1,252,014 orang pengundi di negeri itu layak mengundi dalam PRN-12 dan mereka terdiri daripada 1,228,858 pengundi biasa, 12,585 anggota tentera dan pasangan, 10,458 anggota polis dan pasangan serta 113 pengundi tidak hadir luar negara.

Sebanyak 1,866 pusat mengundi biasa yang mengandungi 3,555 tempat mengundi/saluran dan 85 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 111 tempat mengundi/saluran awal akan digunakan.

"Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 1,951 dengan 3,666 tempat mengundi/saluran. PRU DUN Sarawak Ke-12 ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM150 juta," katanya.

Abdul Ghani juga berkata, tempoh berkempen ditetapkan selama 12 hari bermula selepas hari penamaan calon sehingga jam 11.59 malam, 17 Disember.

Beliau juga memaklumkan, Daftar Pemilih Pilihan Raya itu akan mula dijual pada 1 Disember dan pengundi boleh membuat semakan daftar pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka.

Mereka boleh berbuat demikian menerusi laman sosial SPR iaitu pengundi.spr.gov.my atau menghubungi talian 03-88927018 atau menerusi aplikasi MySPR Semak dengan semakan boleh dibuat mulai 1 Disember," katanya.

Bagi urusan permohonan undi pos luar dan dalam negara, permohonan undi pos untuk mengundi Kategori Borang 1B dan Kategori Borang 1C dibuka mulai 8 November lalu sehingga 24 November.

"Bagi kategori Borang 1A pula bermula 24 November sehingga 3 Disember manakala permohonan undi pos bagi kategori 1B dan 1C dilaksanakan secara dalam talian berbanding secara manual sebelum ini.

"Permohonan untuk mengundi secara pos boleh dilakukan menerusi MySPR Daftar di pautan https://mysprdaftar.spr.gov.my," katanya.

BHARIAN.

Tiada ulasan: