08 November 2021

Angkasawan wanita pertama China berjalan di angkasa

 Wang Yaping menjadi angkawasan wanita China pertama yang berjalan di angkasa. - Foto AFP

Wang Yaping menjadi angkawasan wanita China pertama yang berjalan di angkasa. - Foto AFP

BEIJING: Wang Yaping menjadi angkasawan wanita China pertama yang berjaya berjalan di angkasa, kata pihak berkuasa hari ini.

Beliau adalah tiga angkasawan yang berjaya menyelesaikan misi selama enam jam di luar Stesen Angkasa Tiangong sebagai sebahagian daripada program pembinaan berterusan stesen itu.

Tiangong yang bermaksud 'istana syurga' adalah tanda aras terkini dalam usaha China untuk muncul sebagai kuasa angkasa baharu yang utama.

Stesen angkasa itu dijangka beroperasi menjelang tahun hadapan.

Yaping dan rakan sepasukannya, Zhai Zhigang dilihat melangkah keluar daripada roket itu malam tadi sambil melambai ke arah kamera yang ditambat di bahagian luar stesen serta lengkap dipasangkan peranti penyambung pemindahan.

"Ini menandakan aktiviti pertama extravehicular (EVA) kru Shenzhou-13 dan juga yang pertama dalam sejarah angkasa lepas China yang membabitkan penyertaan seorang angkasawan wanita," kata kenyataan Agensi Angkasa Bermanusia China (CMSA), awal hari ini.

"Seluruh proses lancar dan berjaya," katanya sambil mengisytiharkan misi itu selesai.

Tiangong dijangka beroperasi sekurang-kurangnya 10 tahun dan ketiga-tiga angkasawan itu adalah kumpulan kedua yang tinggal di sana, dengan Yaping adalah wanita pertama yang turut serta.

Komander misi itu merangkap bekas juruterbang tempur, Zhai Zhigang, 55, melakukan penerokaan angkasa pada 2008, berkata pasukannya akan melaksanakan penerokaan 'lebih kompleks' berbanding misi sebelum ini.

Operasi semalam diadakan hanya beberapa minggu selepas Yaping, Zhai dan seorang lagi, Ye Guangfu berlepas dari pusat pelancaran Jiuquan di gurun Gobi, barat laut China.

Yaping adalah juruterbang tentera yang juga wanita pertama menjejakkan kaki di stesen angkasa terbabit manakala Guangfu adalah juruterbang Tentera Pembebasan Rakyat.

Misi mereka adalah membabitkan penyediaan peralatan serta menguji teknologi untuk pembinaan masa depan dengan sekurang-kurangnya membina satu lagi stesen angkasa seperti yang dirancang.

Pasukan terbabit dijangka berada di stesen angkasa Tiangong selama enam bulan.

Kru itu memecahkan rekod terdahulu yang sebelum ini melakukan misi pertama ke Tiangong, kembali ke Bumi pada September selepas berada tiga bulan di sana. - AFP

Tiada ulasan: