08 November 2021

Ismail Sabri adakan lawatan rasmi ke Indonesia tiga hari bermula esok

 

ISMAIL SABRI YAAKOB dan JOKO WIDODO 

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memulakan lawatan rasmi pertama beliau ke Indonesia selama tiga hari bermula esok.

Beliau dijadual mengadakan perjumpaan dengan rakan sejawatnya, Presiden Joko Widodo bagi mengukuhkan hubungan dua hala yang sedia terjalin antara kedua-dua negara.

Sebagaimana kelaziman, Indonesia menjadi negara pertama dilawati setiap Perdana Menteri selepas dilantik memegang jawatan nombor satu negara.

Ismail Sabri mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Kesembilan pada 21 Ogos lalu.

Difahamkan, Perdana Menteri turut mengadakan perjumpaan dengan komuniti perniagaan dan pemain industri utama Indonesia, Ketua-ketua Editor Indonesia, diaspora Malaysia di Indonesia serta menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum persefahaman dan perjanjian di antara kedua-dua negara. 

Beliau dijangka melawat fasiliti industri pertahanan di wilayah Bandung dalam tempoh lawatan rasmi itu.

Pertemuan antara Ismail Sabri dan Joko Widodo dijangka membincangkan peluang kerjasama dalam usaha-usaha pemulihan daripada kesan pandemik Covid-19. 

Kedua-dua pemimpin juga akan membincangkan perkembangan-perkembangan penting dalam rantau ini dalam konteks kerjasama ASEAN, serta cabaran-cabaran yang mampu menjejaskan keamanan, pertumbuhan dan kemakmuran rantau ini.

Lawatan rasmi itu dilaksanakan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia dan Indonesia.

Turut mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan itu ialah Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan pegawai-pegawai kerajaan dari kementerian dan agensi berkaitan. – UTUSAN ONLINE 

Tiada ulasan: