08 November 2021

PRN Melaka: Kempen naik lori, van, seperti siar raya Jabatan Penerangan dibenarkan - SPR

 PRN Melaka: Kempen naik lori, van, seperti siar raya Jabatan Penerangan dibenarkan - SPR

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh (tengah) pada sidang media sempena Proses Penamaan Calon Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Melaka ke-15 hari ini.- Foto BERNAMA
MELAKA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan parti-parti politik dan calon yang bertanding pada PIlihan Raya Negeri (PRN) Melaka, menggunakan kaedah menaiki lori atau van untuk berkempen dengan mendekati pengundi, dengan syarat mendapat permit polis terlebih dahulu.
Pengerusinya Datuk Abdul Ghani Salleh berkata penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal, tidak dibenarkan sepanjang tempoh PRN berkenaan.
"Selain dari kita benarkan berkempen dengan edarkan pamplet secara tidak bersemuka, kita juga benarkan pergerakan calon dengan van atau lori.
"Macam zaman dulu, Jabatan Penerangan ada buat, kalau di taman-taman perumahan tu kita lihat ada van (jual) tilam...tilam lama...tilam lama, bergerak dari satu kawasan ke satu kawasan, itu juga kita benarkan," katanya dalam sidang media selepas proses penamaan calon di sini hari ini.
Terdahulu, beliau berkata penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PRN Melaka bagi langkah pencegahan COVID-19.
Memperinci lanjut mekanisme tersebut, Abdul Ghani berkata ia terpulang kepada kreativiti calon sama ada calon mahu berada di dalam kenderaan itu, atau rakaman suara sahaja yang disiarkan melalui pembesar suara.
Bagi kempen di media elektronik arus perdana seperti televisyen dan radio, beliau berkata ia terpulang kepada perbincangan parti dengan pihak berkenaan, dan kaedah itu dibenarkan selain daripada menggunakan saluran media sosial.
Abdul Ghani berkata SPR telah menubuhkan 28 pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya untuk memantau semua aktiviti calon ketika berkempen, selain penguatkuasaan oleh polis dan Kementerian Kesihatan (KKM).
ASTROAWANI.

Tiada ulasan: