08 November 2021

172 individu ditahan ops antirasuah Arab Saudi

 Ibu Pejabat Pihak Berkuasa Pemantauan dan Antirasuah Arab Saudi di Riyadh. - Foto Google

Ibu Pejabat Pihak Berkuasa Pemantauan dan Antirasuah Arab Saudi di Riyadh. - Foto Google

JEDDAH: Pihak Berkuasa Pemantauan dan Antirasuah Arab Saudi menahan 172 individu atas tuduhan berkaitan rasuah kewangan dan pentadbiran membabitkan agensi kerajaan.

Menerusi ciapan Twitter, pihak berkuasa itu berkata sudah melakukan 6,061 pengawasan dalam tempoh sebulan serta menyiasat 512 individu yang terbabit dalam rasuah kewangan dan pentadbiran.

Susulan usaha memerangi rasuah dan melindungi integriti kerajaan, pihak berkuasa itu menahan 172 individu atas tuduhan rasuah, memalsukan dokumen, salah guna jawatan dan kuasa atas kapasiti rasmi, menurut laporan artikel Al Ekhbariya.

Perlakuan jenayah itu dikesan membabitkan pegawai dan kakitangan di Kementerian Alam Sekitar, Air dan Pertanian; Kementerian Pertahanan; Kementerian Kesihatan; Pengawal Kebangsaan Arab Saudi (Saudi National Guard); Suruhanjaya Promosi Kebajikan dan Pencegahan Maksiat dan Suruhanjaya Penilaian Pendidikan dan Latihan Arab Saudi.

Pihak berkuasa itu turut mengesahkan prosedur undang-undang sedang disiapkan sebagai persediaan untuk mensabitkan tertuduh ke mahkamah, selain menggesa orang ramai supaya melaporkan sebarang kecurigaan rasuah kewangan atau pentadbiran untuk melindungi dan memelihara kepentingan awam.

Arab Saudi banyak meraih kejayaan dalam memerangi rasuah di peringkat tempatan dan antarabangsa dan usaha kerajaan itu meningkatkan ketelusan dan memelihara integriti dianggap sebagai usaha yang konsisten.

Ia adalah sebahagian pendekatan sifar toleransi terhadap aktiviti haram membabitkan pejabat awam dengan pihak berkuasa segera mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang terbabit salah laku profesional dengan menyalahgunakan kedudukan kuasa.

Dalam pendekatan strategiknya memerangi rasuah dan menggalakkan pematuhan dan akauntabiliti yang sah, pihak berkuasa baru-baru ini menganjurkan bengkel dengan Pengawal Kebangsaan Saudi bertajuk 'Menganalisis dan menilai risiko dalam prosedur pentadbiran dan kewangan' bertujuan meningkatkan kesedaran tentang pengesanan dan pelaporan yang mencurigakan dan menyalahi undang-undang di jabatan kerajaan. - AGENSI

Tiada ulasan: