07 November 2021

Bulan Keluarga Kebangsaan dikenali Bulan Keluarga Malaysia

 Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mengisytiharkan Bulan Keluarga Kebangsaan yang disambut pada November setiap tahun dikenali sebagai Bulan Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri berkata, sambutan pada bulan ini akan menjadi platform untuk menyemarakkan keutuhan serta keterangkuman dalam Keluarga Malaysia, sekali gus menjamin kemakmuran dan perpaduan sebuah keluarga yang besar.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bulan Keluarga Malaysia di Taman Botani Perdana di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Perdana Menteri berkata, selain penyertaan kementerian dan kerajaan negeri sebagai penggerak utama program, kerajaan amat berharap sektor swasta, NGO dan komuniti turut mengambil bahagian agar program kesejahteraan keluarga dilaksanakan sebaik dan sebanyak mungkin mengikut kapasiti masing-masing.

Katanya, penganjuran program juga boleh dilakukan di peringkat nasional secara gandingan kerjasama dengan agensi kerajaan sebagai satu acara nasional negara bagi mempertingkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

BHARIAN.

Tiada ulasan: