07 November 2021

Muktamar PAS ke-68 tahun depan di Kedah

 

Oleh AIN MANAF

KUALA NERUS: 
Muktamar Tahunan PAS kali ke-68 tahun depan dijadualkan berlangsung di Kedah, kata Pengerusi Tetap PAS Pusat, Hussin Ismail.

Beliau menyatakan perkara itu semasa mempengerusikan sesi penggulungan ucapan dasar Presiden dan penangguhan pada hari kedua Muktamar Tahunan PAS ke-67, hari ini.



Menurutnya, Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Senator Ahmad Yahaya telah menawarkan untuk menjadi tuan rumah muktamar pada tahun depan.

Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali yang diberi peluang untuk menyampaikan ucapan penangguhan pada Muktamar Tahunan PAS ke-67 di Duyong Marina Resort, hari ini turut mengalu-alukan kehadiran perwakilan ke muktamar di negeri itu nanti.

Negeri jelapng padi itu pernah menjadi tuan rumah Muktamar Tahunan PAS ke-63 yang berlangsung di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut.

Muktamar Tahunan PAS merupakan perhimpunan besar untuk merumus keputusan parti dan mendengar arahan dan amanat kepimpinan.

Muktamar Tahunan PAS ke-67 kali ini berlangsung pada hari ini dan semalam di Duyong Marina Resort, di sini.

Muktamar kali ini juga telah diadakan secara hibrid iaitu kehadiran fizikal hanya melibatkan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ahli Majlis Syura Ulamak, Pesuruhjaya PAS Negeri/Wilayah Persekutuan, Yang Dipertua PAS Kawasan dan perwakilan dari Terengganu, Kelantan dan Pahang. – HARAKAHDAILY 7/11/2021

Tiada ulasan: