07 November 2021

Tiga penyandang menang Naib Presiden PAS


KUALA TERENGGANU: Tiga penyandang Naib Presiden PAS terus diberi mandat memegang jawatan itu dalam pemilihan jawatankuasa tertinggi parti pada Muktamar Tahunan Ke-67 sesi 2021-2023.

Berdasarkan pemilihan yang diadakan semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad memperoleh 1,164 undi, manakala Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dengan 956 undi.

Seorang lagi Naib Presiden yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meraih 778 undi.

Bekas Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki tewas apabila hanya sekadar meraih 623 undi.

Keputusan itu diumumkan wakil Jawatankuasa Pemilih Mohd Norkhuzaini Ab Rahman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu.

Seramai 1,299 perwakilan layak mengundi dengan 1,221 undian diterima melalui e-voting.

Sementara itu, 18 AJK Pas Pusat yang baharu adalah Muhammad Khalil Abdul Hadi yang memperoleh 884 undi, diikuti Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (877 undi); Kamaruzaman Mohamad (872 undi); Senator TS Khairil Nizam Khirudin (844 undi); Dr Riduan Mohamad Nor (841 undi); Datuk Iskandar Abdul Samad (822 undi); Dr Halimah Ali (774 undi); Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan (736 undi); Datuk Ahmad Marzuk Shaari (707 undi); Datuk Mohd Nassuruddin Daud (706 undi) dan Dr Najihahtussalehah Ahmad (695 undi).

Turut memenangi jawatan AJK Pas Pusat adalah Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (688 undi); Dr Azman Ibrahim (679 undi); Nasrudin Hassan (645 undi); Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim (615 undi); Dr Ali Akhbar Gulasan (613 undi); Datuk Dr Mahfodz Mohamed (609 undi) dan Dr Rosni Adam (609 undi)

Terdahulu, seramai 36 calon bertanding merebut 18 jawatan berkenaan.

Sebelum ini, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man masing-masing mempertahankan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden selepas menang tanpa bertanding.

Husin Ismail dan Kamal Ashaari juga menang tanpa bertanding bagi mengekalkan jawatan Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap.

Turut menang tanpa bertanding Md Shukor Aziz dan Mohd Najib Ahmad bagi jawatan pemeriksa kira-kira.

Seramai 1,546 perwakilan mengambil bahagian pada muktamar kali ini dengan 694 menyertainya di Kuala Terengganu manakala baki secara hibrid di negeri masing-masing.

Mereka yang menghadiri muktamar kali ini meliputi 197 Yang Dipertua (YDP) kawasan di seluruh negara serta perwakilan Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Tiada ulasan: