07 November 2021

Setiausaha Agung, Bendahari, Pengarah P’raya PAS kekal

 

KUALA NERUS: Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sesi 2021-2023 telah diadakan selepas berakhir Muktamar Tahunan ke-67 di Duyong Marina Resort di sini, hari ini.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, berdasarkan peruntukan Fasal 25 (4), dan dengan persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, beliau telah melantik dan mengekalkan Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai Setiausaha Agung PAS, Dato’ Iskandar Abdul Samad (Bendahari) dan Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor (Ketua Pengarah Pilihan Raya).

“Manakala pelantikan jawatan-jawatan lain bagi sesi 2021-2023 akan disempurnakan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat seterusnya,” ujarnya dalam satu kenyataan, petang ini.

Terdahulu, Muhammad Sanusi dan Iskandar dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS bagi sesi 2021-2023 pada pemilihan yang diadakan sempena muktamar tahunan kali ini yang masing-masing memperolehi 877 dan 822 undi. – HARAKAHDAILY 7/11/2021

Tiada ulasan: