27 November 2021

Nyawa rakyat lebih penting berbanding periuk nasi politik

 

KUALA LUMPUR: Pihak yang bersetuju supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat diberi peringatan supaya mengutamakan nyawa rakyat berbanding periuk nasi politik masing-masing.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil, berkata ini kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan (KKM) sudah memaklumkan kewujudan varian baharu COVID-19, Omicron yang mempunyai kadar kebolehjangkitan sangat tinggi berbanding varian sedia ada.

Beliau berkata, turut menjadi kerisauan ialah jawapan menteri di Dewan Rayat yang mengakui Malaysia tidak begitu pantas dari segi kajian genom virus COVID-19 kerana keadaan itu boleh mengundang risiko besar jika berlaku penularan Omicron.

Tegasnya, berikutan penularan varian Omicron, sudah ada cadangan di Eropah supaya 'lock down' dikuatkuasakan semula dan jika Malaysia juga terpaksa berbuat demikian akibat ledakan kes COVID-19 selepas PRU-15, ia akan membawa penderitaan baharu untuk segenap lapisan masyarakat.

"Kita perlu lihat kesan terhadap rakyat, tak boleh nak fikir periuk nasi politik masing-masing. Bagi saya itu perkara salah, terlalu pentingkan diri sendiri.

"Orang yang meninggal dunia, siapa nak jaga anak-anak mereka? Bagi saya, jika mereka pemimpin bertanggungjawab dan memikirkan nyawa rakyat, mereka tak akan fikir perkara sebegini (PRU-15) dalam waktu ini," katanya kepada BH, hari ini.

Isnin lalu, UMNO menyatakan hasrat berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menyatakan pandangan supaya PRU-15 disegerakan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, parti itu berpendapat PRU-15 wajar diadakan dalam masa terdekat berikutan momentum Barisan Nasional (BN) yang baik selepas meraih kemenangan pada PRN Melaka.

Hari ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pihaknya juga bersedia menghadapi PRU-15 jika ia diadakan dalam masa terdekat dan perkara itu telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, jumlah penerima dos penggalak vaksin COVID-19 yang masih rendah berbanding mereka yang telah melengkapkan dos pertama dan kedua turut menjadi kerisauan sekiranya PRU-15 diadakan dalam masa terdekat.

Katanya, ia meletakkan sistem kesihatan awam dalam keadaan yang sangat membimbangkan kerana tahap imunisasi badan akan berkurangan selepas tiga ke enam bulan dos kedua diambil, bergantung kepada jenis vaksin.

"Sekiranya ada varian Omicron sewaktu PRU-15, maka sistem kesihatan awam kita seperti hospital, klinik dan petugas barisan hadapan bukan sahaja terbeban tetapi ranap. Dari segi kesihatan awam sangat membimbangkan," tegasnya.

Sementara itu, Fahmi berkata mengambil kira risiko yang perlu dihadapi, adalah wajar rancangan untuk mengadakan PRU-15 ditangguhkan di samping menilai kesan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Katanya, walaupun jumlah kes semasa berlegar sekitar 5,000 ke 6,000 kes sehari, jumlah kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) mungkin boleh melonjak.

"Yang kita tahu Hospital Sungai Buloh semakin penuh dan kita risau apa yang berlaku di Melaka dalam minggu dan bulan akan datang kerana pada masa ini tempoh inkubasi virus belum matang.

"Jadi langkah yang bertanggungjawab pada waktu ini ialah tidak mengadakan PRU-15 dan KKM wajar memberikan bukan setakat nasihat, tetapi amaran keras kerana kita belum tahu kesan varian Omicron ini," katanya.

BHARIAN.

Tiada ulasan: