27 November 2021

Varian baharu, WHO beri amaran laksana sekatan perjalanan

 Jurucakap WHO, Christian Lindmeier. - Foto AGENSI

Jurucakap WHO, Christian Lindmeier. - Foto AGENSI

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini memberi amaran terhadap pelaksanaan sekatan perjalanan berikutan penemuan varian B.1.1.529 COVID-19, dengan menyatakan ia akan mengambil masa beberapa minggu untuk memahami implikasi daripada strain baharu itu.

WHO berkata, Kumpulan Penasihat Teknikal mengenai Evolusi Virus (TAG-VE) sedang mengadakan mesyuarat hari ini untuk membincangkan varian yang pertama kali dikesan melalui pengawasan di Afrika Selatan.

Ketika negara-negara Eropah mula melarang penerbangan dari Afrika Selatan, agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata, negara harus mengambil pendekatan berasaskan risiko dan saintifik apabila mempertimbangkan sekatan perjalanan berdasarkan varian itu - tetapi berhati-hati terhadap sekatan.

"WHO memantau dengan teliti varian B.1.1.529 yang dilaporkan baru-baru ini," kata jurucakap, Christian Lindmeier pada taklimat media di sini.

"Analisis awal menunjukkan bahawa varian ini mempunyai sejumlah besar mutasi yang memerlukan kajian lanjut.

"Ia akan mengambil masa beberapa minggu untuk kami memahami kesan varian ini.

"Penyelidik sedang berusaha untuk memahami lebih lanjut mengenai mutasi dan kemungkinan maksudnya mengenai cara penularan varian ini, dan cara ia boleh memberi kesan kepada diagnostik, terapeutik dan vaksin."

Jerman dan Itali hari ini menyertai Britain dan negara Eropah lain dalam mengharamkan kebanyakan perjalanan dari Afrika Selatan ketika kerajaan berusaha untuk menghalang penyebaran varian baharu itu.

Singapura dan Malaysia berkata, mereka akan menyekat ketibaan dari tujuh negara Afrika.

WHO berhati-hati mengenakan sekatan perjalanan yang berkaitan dengan COVID-19.

"Pada ketika ini, sekali lagi, perlu berhati-hati melaksanakan langkah perjalanan," kata Lindmeier.

Kumpulan TAG-VE memulakan mesyuarat maya pada 1100 GMT untuk membincangkan sama ada B.1.1.529 patut, pada peringkat ini, diklasifikasikan sebagai varian diberi perhatian, atau varian yang lebih membimbangkan.

Pada masa ini terdapat empat varian membimbangkan: Alpha, Beta (yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan), Gamma dan Delta yang sangat dominan.

Terdapat juga dua varian diberi perhatian: Lambda dan Mu. - AFP

Tiada ulasan: