27 November 2021

Kos haji dijangka meningkat sehingga 50 peratus

 


KOTA BHARU: Kerajaan menjangkakan kos mengerjakan haji meningkat kepada lebih RM30,000, peningkatan sehingga 50 peratus berbanding sebelum ini RM23,000.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata peningkatan itu disebabkan Cukai Nilai Tambah (VAT) diperkenalkan kerajaan Arab Saudi naik 15 peratus, berbanding lima peratus sebelumnya.

Bagaimanapun katanya, jumlah tepat yang akan diputuskan akan diketahui awal tahun hadapan sebelum dimaklumkan kepada bakal jemaah.

"Selain peningkatan VAT, kos turut meningkat disebabkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu susulan pandemik COVID-19.

"Pada masa sama, kita juga berusaha untuk menyedarkan supaya bakal jemaah yang mampu dapat membayar penuh kos berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran membabitkan 18 keluarga di Jalan Gajah Mati, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Marzuk berkata, kuota jemaah haji juga akan diketahui awal tahun depan.

Beliau berkata, pihaknya akur dengan segala keputusan yang dibuat kerajaan Arab Saudi sama ada mengekalkan kuota sedia ada iaitu 30,000 jemaah atau dikurangkan.

"Kita perlu terima apa sahaja kemungkinan disebabkan COVID-19. Namun melihat kepada situasi semasa penurunan kes COVID-19 di negara berkenaan, kita mengharapkan jumlah kuota itu dapat dikekalkan atau ditambah," katanya.

BHARIAN.

Tiada ulasan: