Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB
BUKAN mudah berdepan pilihan raya dalam keadaan kempen terpaksa berjalan dengan kaedah norma baharu, apatah lagi ada beberapa kawasan yang capaian internetnya ‘kaput’ amat.
Ini luahan beberapa sahabat yang berkampung di Melaka sejak sebelum proses penamaan calon hingga ke saat ini khasnya di kawasan yang agak kurang akses internet seperti di Kuala Linggi, Ayer Limau dan Tanjong Bidara serta Taboh Naning.
Penulis sendiri pun hanya menyaksikan secara dalam talian beberapa program turun padang calon dan pimpinan PAS kerana keterbatasan kesihatan yang amat berat ketika ini sementara menanti pembedahan pada 26 November ini dan kemudiannya follow up dengan beberapa penyakit yang sedia alami sebelum ini.
Bukan sekadar severe gerd kronik, ada masalah luka usus, neuro, tulang belakang, follow up cardio dan hypertension yang memberat selain vertigo yang menyerang tiap hari hanya bertahan dengan ubat sahaja. Tak mengapa itu hanya secebis kisah penulis. Tiada peri penting dalam PRN Melaka.
PRN Melaka kali ini menatijah satu gerak kerja yang boleh dikatakan ‘fully digital’ hampir kurang ‘sentuhan berdepan’.
Kreativiti amat penting dalam memberi impak langsung kepada keseluruhan pengundi di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka. Malah ia memberi cabaran baharu kepada setiap calon mahupun parti politik dalam mendepani kempen.
Isu-isu yang hangat di ruang legar maya pastinya memberi kesan langsung kepada para pengundi dalam membuat pilihan muktamad pada 20 November ini.
Antara isu hangat pastilah isu hubungan dalaman BN khasnya Umno, isu calon muda, isu pembangunan yang menjelaskan alam sekitar, isu pasir, banjir, perumahan, isu kredibiliti calon, malah hingga kepada isu nasional seperti isu kerjasama antara parti dan gabungan.
Hasil beberapa maklumat yang diperolehi dari jentera pelbagai parti yang turun dan memerhati analisis oleh beberapa pemerhati politik, Perikatan Nasional dikatakan memiliki sedikit kelebihan dalam memenangi sehingga 15 kerusi DUN.
Secara umumnya ramai melihat Perikatan Nasional tidak dibelenggu isu dalaman yang kritikal seperti pesaing lain seperti PH dan BN yang dikatakan memiliki isu dalaman serta hubungan antara pemimpin yang amat tidak meyakinkan. Apatah lagi gabungan ini baharu dan tidak terlalu berdepan masalah dalam menentukan kerusi ketika pembahagian kerusi.
Sementara di pihak PH dan BN pula dikatakan ada isu membabitkan siapa bakal Ketua Menteri dalam masa yang sama keserasian antara calon KM dengan ‘de Dato’ yang dikatakan menjadi duri dalam daging memberontaknya beberapa kumpulan dalam parti tertentu.
Dalam masa yang sama apabila pengundi memilih untuk sebuah kerajaan yang lebih stabil, pastinya mereka akan menjurus kepada penyatuan yang kukuh tidak kepada pihak-pihak yang secara terang menyumbang kejatuhan kerajaan Melaka sebelum ini.
Namun dalam masa yang sama kekuatan akar umbi BN yang sedia ada tidak perlu diketepikan dalam cabaran ini kerana secara tradisinya BN juga memiliki sedikit kelebihan sebagai kerajaan yang lama menerajui Melaka walaupun dibelenggu isu berantakan dalaman.
Di pihak PH pula, rakyat khasnya pengundi Melayu amat kecewa dengan pelbagai isu yang menyelubungi pentadbiran PH selama ini sama ada di peringkat pusat selama 22 bulan mahupun di Melaka dalam tempoh yang hampir sama.
Isu peminggiran kebajikan kepada rakyat, isu agama Islam, hak bumiputera dan Melayu, penguasaan parti DAP ke atas pentadbiran negara dan negeri menjadi igauan ngeri kepada pengundi untuk memilih wakil mereka.
Pun begitu di kawasan-kawasan yang mana majoriti bukan Melayu memberi sedikit kelebihan kepada PH untuk menang jika pengundi bukan Melayu keluar beramai-ramai seperti PRU14 yang lalu.
Namun menurut maklumat dalaman, pengundi Cina dikatakan takut untuk mengambil risiko keluar kali ini memandangkan penularan pendemik Covid-19 masih membarah.
Jika kesemua faktor ini diambil kira, dengan isu semasa, mungkin sekali Perikatan Nasional mampu membentuk kerajaan secara majoriti mudah dalam masa yang sama berdepan mungkin kerjasama semula seperti di peringkat pusat. Apapun ia hanya akan dibuktikan ketika pembuangan undi nanti. Selamat mengundi. Pilih kerajaan yang stabil demi masa depan Melaka. – HARAKAHDAILY 16/11/2021
Tiada ulasan:
Catat Ulasan