Oleh Shafezah Abdul Wahab dan Hilmi Abu Bakar
Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semakin hangat apabila 112 calon dan jentera sibuk berkempen siang malam memancing undi dengan tempoh berbaki empat hari sebelum hari pengundian.
Berbanding minggu lalu dengan kempen masih suram kerana terdapat calon keliru terhadap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), kemeriahan semakin terasa selepas seluruh kawasan mula dipenuhi bendera dan poster calon.
Malah, perang manifesto pilihan raya juga menambah suhu politik Melaka apabila Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) menawarkan janji untuk memikat pengundi.
Ramai calon berkempen dengan cara norma baharu dan digital ekoran sekatan kempen fizikal seperti ditetapkan MKN. PH misalnya menganjurkan ceramah secara langsung di Facebook, selain wawancara sembang politik dianjurkan DAP selaku antara komponen PH.
BN tidak kurang hebat apabila calon mereka, ter- utama dalam kalangan calon muda aktif berkempen menerusi platform digital.
PRN Melaka ini memperlihatkan dimensi baharu dalam politik Malaysia dengan calon dan parti politik menampilkan gaya baharu kempen dengan memanfaatkan sepenuhnya platform media digital.
Sudah tentu, pemilihan platform digital sebagai kempen PRN Melaka menjadi pilihan terbaik kerana kita terpaksa berhadapan pilihan raya dalam suasana pandemik belum pulih.
Jentera kempen pilihan raya daripada parti politik bertanding sudah mengenal pasti platform popular berdasarkan kumpulan sasar dan kandungan digital melalui capaian internet yang pastinya boleh menarik minat, pengundi terutama pengundi muda.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaporkan lima aktiviti utama menerusi capaian internet adalah melalui saluran komunikasi teks, iaitu 98.1 peratus; media sosial (93.3 peratus); menonton video (87.3 peratus); komunikasi suara atau video (81.1 peratus) dan mendapatkan maklumat (74.3 peratus).
Kempen secara digital ini jika dilihat secara teliti pasti dapat memberi impak besar kepada pihak yang tahu memanfaatkan kelebihan platform sedia ada. Justeru, pengundi perlu lebih bijak dan mempunyai pemikiran kritis dalam menilai maklumat diterima melalui platform digital.
Istilah maklumat di hujung jari bukan lagi baharu, namun pengundi perlu melengkapkan diri dengan kemahiran literasi media dan maklumat bagi mengelakkan penerimaan berita tidak benar di plat- form digital.
Oleh itu, pengundi perlu tahu platform media digital meletakkan algoritma buih tapisan bagi memaparkan maklumat dijangkakan dapat memenuhi minat mereka dikira berdasarkan sejarah carian dan penggunaan internet.
Jika pengundi tidak sedar mengenai keadaan ini, mereka akan terus terperangkap dalam situasi yang dipanggil 'ruang gema' di platform media digital. Ruang gema ini akan menyebabkan mereka hanya menerima maklumat berkaitan sumber pilihan dan melihatnya dari satu sudut sahaja.
Kempen secara digital ini membuka ruang kepada pengundi untuk mendapatkan pelbagai maklumat daripada semua parti bertanding. Pengundi yang bijak mampu melepaskan ikatan minda daripada hanya menerima dan mempercayai maklumat satu pihak sahaja.
Namun, kempen menerusi platform digital ini juga dilihat kurang memberi kesan kepada pengundi dalam kalangan 'orang lama' yang tidak terlalu terdedah dengan capaian maklumat di platform digital.
Oleh itu, selain kempen secara digital, turut dilaksanakan jentera parti ialah kenderaan siar raya dan beberapa kempen bersemuka skala kecil mematuhi SOP ditetapkan.
Selain itu, langkah kerajaan membenarkan semua parti, termasuk calon Bebas untuk menyiarkan potret dan biodata calon di Radio Televisyen Malaysia (RTM) adalah suatu berita melegakan semua parti bertanding dan akan merancakkan amalan demokrasi di negara ini.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka
BHARIAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan