16 November 2021

Berkempen dengan bas persiaran

 

Oleh SYAHIRAH SALLEH

MELAKA:
 Calon Perikatan Nasional (PN) daripada PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Ahmad Bilal Rahudin berkempen menggunakan bas persiaran dua tingkat.

Fungsi utama bas berkenaan adalah untuk memudahkan pergerakan petugas dan jentera parti dari satu tempat ke satu tempat.

Bas persiaran itu merupakan kenderaan milik Syarikat Zahafiz Travel yang dimiliki bapa angkatnya, Dato’ Seri Zainal Abidin Yusof.

Menurut Zainal Abidin, Bilal sebelum ini merupakan pembimbing haji dan umrah di syarikatnya dan beliau lama mengenali Bilal.

“Bas ini kepunyaan saya iaitu bas Zahafiz Travel, jadi kebetulan pula dengan izin Allah, Ustaz Bilal merupakan anak angkat saya yang bertugas dengan saya, iaitu pembimbing haji dan umrah setiap tahun.

“Jadi saya bagi dia guna bas itu, sekarang bas itu tidak digunakan dan tidak membawa sesiapa, sebelum ini digunakan untuk membawa jemaah haji,” katanya dalam satu rakaman video.

Bas berkenaan telah mula digunakan untuk kegunaan petugas membantu calon Perikatan Nasional bagi DUN Serkam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sejak 10 November lalu.

Selain Ahmad Bilal, calon daripada PAS yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional ialah Aziah Mohd Sa’ad (DUN Kuala Linggi), Bakri Jamaluddin (Kelebang), Muhammad Al Afiz Yahya (Bukit Katil), Abu Hashim Abdul Samad (Taboh Naning), Datuk Kamarudin Sidek (Duyong), Ja’afar Othman (Durian Tunggal) dan Abd Alim Shapie (Merlimau).

Seramai 112 calon layak bertanding pada PRN Melaka, dengan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan DUN membabitkan kerusi DUN Asahan, Duyong dan Gadek.

Sebanyak lima kerusi iaitu DUN Rembia, Machap Jaya, Paya Rumput, Pengkalan Batu dan Bemban pula menyaksikan pertembungan lima penjuru.

Sembilan DUN menyaksikan pertandingan empat penjuru manakala 11 lagi DUN, tiga penjuru.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi pada 20 November manakala undi awal pada hari ini.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas setelah empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri. – HARAKAHDAILY 16/11/2021

Tiada ulasan: