16 November 2021

‘Tiada agama menerima judi’ – Dr Balachandran

 

KUALA LUMPUR: Amalan berjudi tidak hanya diharamkan oleh Islam sahaja, bahkan ia turut dilarang di dalam semua agama, demikian dinyatakan Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), Dr Balachandran Gopal Krishnan.


Menurut beliau, berjudi bukan amalan mana-mana agama, bahkan hakikatnya kalangan mereka yang mempertahankan perjudian adalah manusia penyembah ego sendiri dan tidak yakin dengan kebesaran Tuhan.

Beliau mengimbau sewaktu bekas Al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat menjadi Menteri Besar Kelantan di mana ketika bertindak mengharamkan judi, keputusan tersebut diterima oleh semua Ketua Agama di negeri itu.

“Pemimpin yang mempertahan judi adalah pemimpin yang tidak mengambil kira perhitungan dosa dan pahala. Pemimpin sedemikian perlu tanya isteri mereka adalah mereka suka sekiranya suami mereka terlibat dengan judi? 

“Rakyat perlu menolak pemimpin sedemikian agar negara dan rakyat kita selamat. Pemimpin kena tegas dalam melaksanakan kebaikan. Kerana benda yang baik lazimnya mendapat tentangan dari golongan yang bencikan kebaikan,” ujar beliau.

Dr Balachandran turut menegaskan bahawa tindakan menghalang perjudian adalah suatu usaha yang baik walaupun sering diperlekehkan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pemimpin DAP, Dr Ramasamy Punusamy yang mendakwa keputusan Kerajaan Negeri Kedah menamatkan operasi premis perjudian sebagai tidak menghormati hak orang bukan Islam.

“Kenyataan itu tidak benar. Bahkan Kerajaan Kedah menghormati semua manusia. Tindakannya mengharamkan judi adalah untuk menyelamatkan kemanusiaan sejagat.

“Kemudaratan angkara perjudian bukan sahaja merosakkan orang Islam. Bahkan ia merosakkan kemanusiaan semua bangsa dan penganut apa sahaja agama,” ujar beliau.

Katanya, pemimpin dan kerajaan yang bertanggungjawab akan memastikan rakyat dididik untuk menjadi rakyat yang bertanggungjawab terhadap diri, keluarga dan negara. 

Menurutnya, DHPP senantiasa bersama pemimpin yang berani membuat perubahan demi mempertahankan kebaikan demi kesejahteraan rakyat.

Berhubung dakwaan pengharaman judi akan mengundang masalah ekonomi dan kemerosotan pendapatan negara, beliau berkata, pemimpin negara perlu yakin bahawa yang memberi rezeki ialah Tuhan dan bukan syarikat judi.

Dalam hal ini beliau memetik kata-kata hukamak, “Bagaimana aku takut kepada kemiskinan sedangkan aku adalah hamba kepada Tuhan yang Maha Kaya!”. – HARAKAHDAILY 16/11/2021

Tiada ulasan: